MUAR: Johor antara negeri tertinggi bagi pendaftaran murid enam tahun untuk kemasukan tahun satu sesi persekolahan 2027 di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dalam tempoh dua minggu pendaftaran dibuka, hampir 50,000 permohonan diterima di seluruh negara dengan Johor muncul antara penyumbang terbesar.
Katanya, perkembangan itu memberi isyarat positif terhadap tahap keyakinan dan komitmen ibu bapa dalam mendukung pelaksanaan dasar pendidikan baharu tersebut.
“Apabila Johor menjadi antara negeri tertinggi daripada segi pendaftaran, ini menunjukkan ibu bapa bersedia memberi komitmen dan percaya kepada sistem yang sedang dilaksanakan.
“Pendaftaran ini bukan sekadar proses rutin, tetapi sebahagian daripada pelaksanaan RPM yang menetapkan sasaran wajib capai dalam tempoh 10 tahun,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan (KPM) 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar di sini, semalam.
Program Jaulah Ramadan KPM 2026 diadakan bagi memperkukuh hubungan antara warga KPM dan masyarakat setempat, di samping menyemarakkan penghayatan Ramadan melalui elemen kerohanian, kebajikan serta pendidikan.
Beliau berkata, tempoh pendaftaran berlangsung sehingga 31 Mac ini, namun kementerian akan terus menerima permohonan selepas tarikh tersebut bagi memberi ruang kepada ibu bapa yang membuat keputusan.
Fadhlina memaklumkan, kementerian telah membuat unjuran maksimum sehingga 700,000 pendaftaran dan persiapan rapi sedang dijalankan termasuk aspek prasarana serta pengambilan guru.
“Walaupun persiapan dibuat pada tahap maksimum, perkembangan semasa membolehkan kementerian menyusun perancangan lebih terperinci mengikut negeri dan sekolah berdasarkan pola pendaftaran.
“KPM turut mempergiat pelaksanaan Program Tekad Reformasi Pendidikan (Tekad) sebagai platform penerangan dan libat urus berterusan bagi memastikan mesej serta sasaran RPM difahami secara menyeluruh oleh semua pihak,” ujarnya.
Menurutnya, proses penerangan dan penglibatan tidak akan terhenti setakat tempoh pendaftaran sahaja, sebaliknya akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh sokongan terhadap pelaksanaan dasar berkenaan. – UTUSAN










