RPM 2026–2035 perlu bina karakter murid

RPM 2026–2035 perlu bina karakter murid

RPM 2026–2035 perlu difahami bukan sekadar sebagai dokumen dasar, tetapi sebagai satu ikhtiar nasional untuk membina semula asas peradaban melalui pendidikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH matlamat sebenar pendidikan? Adakah untuk melahirkan murid yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan, atau membentuk insan yang berintegriti, beradab dan mampu memimpin masyarakat?

Persoalan ini semakin mendesak dalam era kecerdasan buatan (AI), apabila maklumat berada di hujung jari dan teknologi semakin mampu melaksanakan pelbagai tugas yang dahulunya memerlukan kepakaran manusia.

Dalam suasana ini, kelebihan sebenar manusia bukan lagi sekadar penguasaan ilmu, tetapi keupayaan menggunakan ilmu dengan hikmah, berpegang kepada nilai serta membuat pertimbangan yang beretika.

Justeru, pendidikan tidak boleh hanya berorientasikan pencapaian akademik, sebaliknya mesti mengutamakan pembentukan karakter sebagai asas kepada pembangunan insan dan kemajuan negara.

Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 hadir tepat pada waktunya dengan mengangkat konsep Insan Sejahtera sebagai teras pembangunan pendidikan negara.

Lima ciri utama yang digariskan: Beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan menzahirkan satu anjakan penting daripada ukuran kejayaan yang bersifat akademik semata-mata kepada pembinaan insan yang holistik.

Martin Luther King Jr. pernah mengungkapkan bahawa tujuan pendidikan ialah melatih seseorang berfikir secara mendalam dan kritis, tetapi matlamat sebenar pendidikan ialah menggabungkan kecerdasan dengan karakter.

Dalam tradisi keilmuan Islam pula, Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa krisis terbesar pendidikan ialah kehilangan adab. Abu Hamid al-Ghazali pula menjelaskan bahawa ilmu tanpa akhlak tidak akan membawa manusia kepada kesejahteraan.

Hakikatnya, sekolah yang cemerlang bukan sekadar sekolah yang menghasilkan keputusan peperiksaan yang tinggi, tetapi sekolah yang berjaya melahirkan murid yang jujur, berdisiplin, berempati, berfikiran kritis dan mampu hidup bersama dalam masyarakat yang pelbagai.

Dalam konteks inilah, RPM 2026–2035 perlu difahami bukan sekadar sebagai dokumen dasar, tetapi sebagai satu ikhtiar nasional untuk membina semula asas peradaban melalui pendidikan.

Persoalannya, bagaimanakah lima elemen Insan Sejahtera dapat diterjemahkan daripada sebuah dasar kepada budaya yang hidup di sekolah?

Jawapannya bermula dengan memahami bahawa pembentukan karakter bukan berlaku melalui satu mata pelajaran khusus, tetapi melalui keseluruhan ekosistem pendidikan.

Di sinilah guru memainkan peranan sebagai murabbi, sekolah sebagai medan pembinaan peribadi dan masyarakat sebagai rakan strategik dalam membentuk generasi masa depan. – UTUSAN

MOHD AZIZEE HASAN
Presiden i-Guru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN