Ibu bapa muda setuju budak enam tahun masuk Tahun Satu 2027

Ibu bapa muda setuju budak enam tahun masuk Tahun Satu 2027

JOOHARI Ariffin (duduk, tengah) bersama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang pada sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Cadangan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula 2027 menerima maklum balas positif daripada sebahagian ibu bapa muda di Pulau Pinang yang melihat langkah itu mampu membantu mengurangkan beban kewangan keluarga.

Pengarah Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Pulau Pinang (Al-Hady Center), Dr. Joohari Ariffin berkata, dasar di bawah Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 itu bukan sahaja membantu mengenal pasti keperluan perkembangan awal kanak-kanak, malah, turut menyediakan asas pembelajaran yang kukuh untuk jangka panjang.

“Langkah tersebut berpotensi mengurangkan beban kewangan ibu bapa bekerja, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos penjagaan dan pendidikan anak-anak.

“Hasil maklum balas awal yang diterima secara tidak langsung daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mendapati keluarga muda antara yang menyokong cadangan kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan berlaku penambahan bilangan pendaftaran murid khususnya di kawasan bandar bagi kemasukan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu mulai tahun depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, ini berikutan sambutan yang memberangsangkan diterima daripada responden khususnya ibu bapa yang tinggal di kawasan bandar.

Mengulas lanjut, Joohari berkata, pendekatan sama telah dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Finland, Jepun dan Korea Selatan yang menekankan pendedahan awal kepada pembelajaran formal serta pengesanan perkembangan kanak-kanak sejak peringkat awal.

“Bagaimanapun, pelaksanaan pendaftaran awal secara sukarela perlu disertai kesiapsiagaan sistem pendidikan termasuk jumlah tenaga pengajar yang mencukupi.

“Jurang antara bandar dan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi perhatian agar dasar yang baik tidak akhirnya melebarkan ketidaksamaan akses serta kualiti pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, masih terdapat ibu bapa di kawasan luar bandar yang gusar mengenai penyelarasan umur kemasukan ke Tahun Satu dan ada yang berpandangan pelaksanaannya perlu dibuat secara serentak, bukan secara sukarela.

“Oleh itu, kita berpandangan kejayaan pelaksanaan RPM 2026-2035 memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, institusi pendidikan, komuniti serta pembuat dasar. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×