KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi di peringkat antarabangsa menerusi penganjuran Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye dalam rangkaian program pendidikan utama negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, hubungan erat kedua-dua negara telah membuka ruang kepada kerjasama strategik lebih luas termasuk penyelidikan dan pembangunan teknologi.
Katanya, mesyuarat kedua ini merupakan kesinambungan kepada pertemuan pertama yang diadakan di Istanbul pada April 2025 yang sebelum ini berjaya meletakkan asas kukuh kepada kolaborasi dua hala.
“Melalui platform ini, kita mahu memastikan kerjasama yang terjalin bukan sekadar di atas kertas, tetapi memberi impak sebenar kepada pembangunan pendidikan dan inovasi negara.
“Antara hasil utama yang dijangka dicapai ialah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) serta surat hasrat (Lol) antara agensi dan institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara,” katanya semasa taklimat media berhubung mesyuarat itu dan Kongres Pendidikan Bumiputera di sini hari ini.
Zambry berkata, kerjasama itu turut melibatkan lebih 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) serta rakan universiti dari Turkiye bagi memperkukuh jaringan akademik dan penyelidikan.
Beliau berkata, pihaknya kini memfokuskan kepada bidang yang melibatkan masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, teknologi hijau, kelestarian serta transformasi digital
“Beberapa program sokongan turut dianjurkan termasuk forum pendidikan Malaysia Turkiye dan inisiatif pembangunan kepimpinan akademik.
“Saya harap dengan adanya kerjasama yang baik ini, dua buah negara yang maju dalam bidang pendidikan dan teknologi ini dapat memberikan hasil yang baik kepada kedua-dua buah negara ini,” katanya. – UTUSAN










