PETALING JAYA: Kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik menjadi kunci utama memastikan sistem pendidikan negara terus berkembang sebagai antara yang terbaik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan kerana ia asas pembentukan generasi masa depan berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Katanya, kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung kepada dasar, peruntukan atau kemudahan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan menyeluruh serta hubungan kukuh antara semua pihak berkepentingan.
“Hubungan mantap antara kerajaan, ibu bapa dan pendidik, penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan menyeluruh, bukan sahaja di sekolah tetapi juga di rumah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar membuat hantaran tersebut selepas melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Besi. Lawatan berkenaan turut diikuti isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Lawatan berkenaan bertujuan memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP), inisiatif penting kerajaan bagi meringankan beban ibu bapa membuat persiapan awal persekolahan.
“Dalam lawatan ini, saya berpeluang bertemu dan menyantuni anak-anak kecil yang baru melangkah ke alam persekolahan.
“Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.
“Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri,” katanya. – UTUSAN










