GEORGE TOWN : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membangunkan enam projek Taman Rekreasi Madani (TRM) di Pulau Pinang sepanjang tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kesemua projek tersebut yang setiap satunya dianggarkan menelan kos sebanyak RM500,000 dijangka siap selewat-lewatnya sebelum sambutan Krismas iaitu pada bulan Disember.
“Tiga daripada Taman Rekreasi Madani ini kita akan bangunkan di bawah seliaan MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) iaitu di sebelah pulau manakala tiga lagi di bawah MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) iaitu satu di Jawi (Parlimen Nibong Tebal) dan dua lagi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh.
“Kita sasarkan sebelum Krismas (siap). Tak boleh lambat, kena segera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan dan Penyerahan Sijil ‘Environment, Social and Governance’ (ESG) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’Ng Mooi Lye dan Datuk Bandar MBPP, Datuk Ir. A. Rajendran.
Untuk rekod, sejak projek itu dimulakan pada 2024 sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 216 TRM telah berjaya dibangunkan di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Kor Ming memberitahu, MBPP merupakan agensi kerajaan pertama yang memperoleh pengiktirafan pensijilan ESG sekali gus mencerminkan komitmen dan kesungguhannya dalam memperkukuh tadbir urus, memelihara kelestarian alam sekitar serta meningkatkan kesejahteraan sosial komuniti bandar.
“Pelaksanaan ESG dalam pentadbiran agensi kerajaan tempatan adalah satu langkah strategik bagi memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti serta membina kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan tempatan.
“Justeru, kejayaan MBPP dalam memperoleh pensijilan ESG ini wajar dijadikan penanda aras dan amalan terbaik kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) yang lain di seluruh negara,” ujar beliau.
Tambah Kor Ming, keupayaan MBPP untuk muncul selaku Johan Anugerah PBT Cemerlang (Bandaraya) menerusi Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT 2025 juga melayakkan PBT itu untuk dicalonkan bertanding pada Dubai Award 2026 yang menawarkan hadiah lumayan iaitu sebanyak satu juta dolar Amerika Syarikat (AS) selepas ini.-UTUSAN










