PETALING JAYA: Peruntukan tambahan RM100 juta bagi pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan jaringan sosial kepada pekerja gig e-hailing dan p-hailing membuktikan kerajaan mengiktiraf sumbangan sektor berkenaan terhadap mobiliti dan ekonomi harian rakyat.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara harus diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat melalui dasar yang menitikberatkan kesejahteraan, keadilan sosial dan kemampanan jangka panjang.
“Kerajaan menunjukkan keprihatinan terhadap realiti ekonomi baharu melalui pengumuman pembiayaan latihan kemahiran dan perlindungan jaringan sosial kepada pekerja gig e-hailing dan p-hailing dengan peruntukan tambahan RM100 juta.
“Peruntukan itu disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan mekanisme pembiayaan ini sedang diperhalusi serta akan diumumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan berkata, Amanat Tahun Baharu 2026 yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memelihara kesejahteraan rakyat, memperkukuh keadilan sosial serta memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan..
“Kementerian Sumber Manusia kekal komited melaksanakan amanah Kerajaan Madani dengan memastikan setiap inisiatif memberi impak sebenar kepada pekerja, keluarga dan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya, pihak kementerian juga akan terus menyokong pelaksanaan dasar yang berteraskan kebajikan, keterangkuman dan keadilan sosial demi memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan negara. – UTUSAN










