PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya budaya rasuah diperangi habis-habis, merupakan satu amanah dan menuntut tindakan segera serta komprehensif oleh semua institusi berkaitan.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, titah itu turut menekankan keperluan siasatan terhadap bukan sahaja penerima rasuah malah pemberi rasuah dan ejen, selain tindakan pantas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, SPRM perlu mempercepatkan siasatan dan pendakwaan secara telus, selain mengumumkan pelan tindakan yang jelas termasuk garis masa dan mekanisme pemantauan awam.
“SPRM juga perlu memperkukuh kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi antarabangsa bagi memastikan kes diselesaikan secara adil dan pantas.
“Jawatan awam merupakan satu amanah rakyat dan tidak seharusnya dijadikan platform untuk memperkayakan diri, kroni atau kepentingan politik.
“MCW menegaskan bahawa tiada lagi ruang toleransi terhadap amalan rasuah di semua peringkat termasuk politik, perniagaan, agensi kerajaan dan sektor swasta.
“Tindakan besar-besaran perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam rasuah tanpa sebarang pilih kasih, kompromi atau penyekatan,” katanya dalam kenyataan.
Jais berkata, sebarang penyalahgunaan kuasa, dana atau aset awam perlu dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara dan rakyat.
Katanya, semua penjawat awam termasuk kontraktor, perunding dan pegawai atasan wajar dipertanggungjawabkan sekiranya terbukti bersalah.
Dalam pada itu, MCW turut menggesa pembinaan semula budaya antirasuah melalui pendidikan integriti yang praktikal di peringkat sekolah, universiti dan sektor swasta.
“Kami menyatakan sokongan penuh terhadap titah Yang di-Pertuan Agong yang menyediakan asas kepada reformasi institusi, pengukuhan sistem pemerintahan berintegriti serta penggubalan undang-undang antirasuah yang lebih berkesan,” katanya. – UTUSAN










