‘Ramai ahli Pas lihat peranan Mursyidul Am sekadar penasihat’

‘Ramai ahli Pas lihat peranan Mursyidul Am sekadar penasihat’

MOHD. ZUHDI MARSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak berlaku sebarang pertembungan antara Mursyidul Am Pas dan Presiden Pas, sebaliknya kekeliruan yang wujud selama ini berkaitan kedudukan sebenar Mursyidul Am dalam parti tersebut.

Bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marsuki berkata, kedua-dua tokoh berkenaan dihormati semua pihak, namun dakwanya terdapat sekumpulan pihak yang menganggap Pas sebagai milik mereka yang cuba mewujudkan persepsi pertembungan dengan Mursyidul Am.

Katanya, keadaan itu mendedahkan hakikat selama ini ramai ahli Pas melihat peranan Mursyidul Am sekadar simbol kerohanian atau penasihat sahaja.

Beliau turun mengakui terkejut apabila dilaporkan terdapat Dewan Ulama Pas sebuah negeri yang turut berpendirian sedemikian.

“Penulisan tersebut dibuat selepas beliau menonton sebuah video Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mengulas mengenai kewujudan dikotomi kuasa antara Mursyidul Am dan Majlis Syura Ulama.

“Berdasarkan isi kandungan ulasan itu, pendirian Mursyidul Am seolah-olah digambarkan sebagai pandangan peribadi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mengulas takrif ‘amir’ dalam konteks Islam, Mohd. Zuhdi berkata, amir bermaksud ketua sesuatu kumpulan sebagaimana Rasulullah SAW melantik Abdullah Jubayr sebagai amir kumpulan pemanah dalam Perang Uhud dan Umar al-Khattab menggunakan gelaran amir al-mu’minin selepas dilantik sebagai khalifah.

Beliau berkata, berdasarkan takrif tersebut, amir Pas membawa maksud ketua keseluruhan organisasi dan individu di bawah Pas, lebih-lebih lagi Pas bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah Harakah Islamiyah.

Katanya, walaupun istilah amir tidak disebut dalam Perlembagaan Pas peranan itu, katanya, hakikatnya terletak pada jawatan Mursyidul Am.

“Perlembagaan Pas melalui Fasal 9 memperuntukkan peranan dan tanggungjawab besar kepada Mursyidul Am sebagai Ketua Majlis Syura Ulama termasuk melaksanakan kuasa yang diperuntukkan, mempengerusikan mesyuarat serta memastikan pematuhan terhadap Perlembagaan, dasar dan hukum Pas dalam seluruh kegiatan dan pentadbiran parti.

“Peranan tersebut bukan sekadar mempengerusikan mesyuarat atau muzakarah, sebaliknya melibatkan kuasa mengeluarkan arahan dan perintah agar segala ketetapan Majlis Syura Ulama berkaitan Islam dan hukum-hukumnya dipatuhi oleh organisasi serta individu di bawah Pas,” katanya.

Beliau berkata, Fasal 9(1)(c) memberikan kuasa khusus kepada Mursyidul Am untuk mengambil apa-apa langkah perlu bagi mengawasi dan memelihara pematuhan terhadap Perlembagaan, dasar dan hukum Pas tanpa terikat kepada mesyuarat Majlis Syura Ulama.

Katanya, penelitian terhadap keseluruhan Perlembagaan Pas menunjukkan tiada jawatan lain dalam parti itu yang mempunyai kuasa mengeluarkan arahan serta memantau keseluruhan organisasi dan individu di bawah Pas, selain Mursyidul Am termasuk dalam perkara berkaitan pelantikan Perdana Menteri dan Menteri Besar.

“Seharusnya menjadi amalan Pas untuk mengambil ketetapan Majlis Syura Ulama dalam pelantikan jawatan kepimpinan utama dan mencadangkan agar calon bagi jawatan Perdana Menteri dan Menteri Besar pada masa hadapan turut mendapat kelulusan majlis tersebut,” katanya.

Mengulas kemelut politik di Perlis, Mohd. Zuhdi berkata, mandat besar perlu diberikan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin untuk menyelesaikannya kerana beliau dihormati oleh semua pihak termasuk parti lain.

“Kemelut pertukaran Menteri Besar Perlis bukan sekadar konflik dalaman Pas atau hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional, sebaliknya melibatkan nasihat Raja Perlis yang wajib ditaati menurut ketetapan syarak selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Hadith,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Zuhdi mempertahankan pendirian Hashim yang menyatakan keputusan melucutkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis belum muktamad.

“Fasal 15A mempunyai kelompongan kerana tidak menetapkan pihak berkuasa yang boleh memutuskan pelanggaran oleh ahli badan perundangan, sedangkan keputusan tersebut bersifat muktamad.

“Hanya Majlis Syura Ulama mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 77 Perlembagaan Pas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN