Rakyat lega subsidi minyak masak terjamin bagi warga tempatan

Rakyat lega subsidi minyak masak terjamin bagi warga tempatan

MINYAK masak peket bersubsidi Malaysia yang dijual di pasar Narathiwat, Thailand-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah kerajaan melarang kira-kira 3.4 juta warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi bermula 1 Mac ini disokong bagi memastikan kebajikan serta hak rakyat Malaysia terus terpelihara.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai berpandangan subsidi barangan keperluan sepatunya hanya dinikmati oleh rakyat tempatan yang menyumbang kepada negara melalui pembayaran cukai, bukannya warga asing yang tidak tertakluk kepada tanggungjawab tersebut.

Seorang peniaga kecil, Siti Umira Hassan, 35, berkata, mi­nyak masak paket patut dikhususkan untuk rakyat Malaysia, terutama peniaga kecil yang sangat bergantung kepada barangan bersubsidi bagi kelangsungan perniagaan.

“Walaupun saya hanya berniaga ‘dessert’, saya dapat me­rasai tekanan apabila sukar mendapatkan minyak masak paket. Selain perlu berebut de­ngan warga asing, stok pula sa­ngat terhad.

SITI UMIRA HASSAN

“Langkah kerajaan melarang warga asing daripada membeli minyak masak paket bersubsidi berharga RM2.50 amat membantu kami para peniaga kecil yang memerlukan barangan runcit tersebut.

“Diharapkan selepas ini, barangan keperluan lain juga mengutamakan rakyat tempatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang pekerja swasta, Siti Norafiqah Ihsan, 24, berkata, keputusan kerajaan itu adalah adil memandangkan barangan bersubsidi memang diperuntukkan khas kepada rakyat Malaysia yang membayar cukai kepada kerajaan.

Menurutnya, adalah tidak wajar sekiranya warga asing yang tidak menyumbang kepada hasil negara turut menikmati subsidi, sedangkan masih ramai rakyat tempatan yang memerlukan bantuan bagi menampung kos sara hidup.

“Saya menyokong langkah kerajaan ini kerana subsidi seharusnya dinikmati oleh warga tempatan, bukan sebaliknya,” katanya.

Pandangan sama dikongsi seorang lagi pekerja swasta, Nor Dania Afrina Jefri, 23, yang berpendapat subsidi disediakan bagi membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Katanya, langkah tersebut mampu memastikan bekalan minyak masak paket mencu­kupi untuk rakyat tempatan dan tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tindakan ini juga dapat memastikan bantuan kerajaan benar-benar sampai kepada mereka yang layak menerimanya,” katanya.

Sementara itu, seorang gu­ru, Hani Najwa Zulaikha, 24, menyi­fatkan larangan tersebut sebagai langkah wajar bagi mengelakkan masalah kekurangan bekalan minyak masak paket di pasaran.

HANI NAJWA ZULAIKHA

“Langkah ini dapat mengelakkan kejadian stok minyak masak paket kehabisan atau disorok oleh peniaga sehingga menyukarkan rakyat tempatan mendapatkan minyak masak bersubsidi.

“Justeru, larangan ini adalah langkah tepat bagi memastikan subsidi kerajaan benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN