PETALING JAYA: Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) di Zoo Negara akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat selepas pasangan Giant Panda baharu, Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina), yang tiba dari Republik Rakyat China (RRC) pada 18 November lalu selesai menjalani tempoh kuarantin.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, lawatan kerja ke PKGP memberi peluang untuk meninjau fasiliti yang dinaik taraf bagi meningkatkan kebajikan Giant Panda dan keselesaan pengunjung.
Katanya, ia termasuk penambahbaikan termasuk eksibit utama, reka bentuk dalaman, landskap dan penggantian chiller menggunakan peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
“Saya turut mendapat penerangan daripada pakar veterinar RRC dan Zoo Negara berhubung dengan tahap kesihatan pasangan Giant Panda yang berada dalam keadaan yang baik.
“Semasa lawatan, Chen Xing dan Xiao Yue telah menunjukkan tingkah laku normal dan aktif yang menandakan tahap penyesuaian yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Arthur, pasangan Giant Panda ini berperanan sebagai ikon hubungan diplomatik Malaysia–RRC, sekali gus memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
“Sehingga kini, RRC telah menjalankan kerjasama antarabangsa untuk konservasi dan penyelidikan Giant Panda dengan 20 negara termasuk Malaysia.
“Perjanjian kerjasama ini dimeterai sempena Lawatan Negara Presiden RRC ke Malaysia pada 16 April 2025, melalui kerjasama antara Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dan China Wildlife Conservation Association (CWCA),” katanya.
Selain itu, beliau berkata, pasangan Giant Panda ini akan berada di Malaysia untuk tempoh 10 tahun dari 2025 hingga 2035.
“Kerajaan melalui NRES menegaskan komitmen Malaysia Madani dalam memastikan konservasi spesies terancam dilaksanakan secara mampan dan selaras dengan prinsip diplomasi antarabangsa,” katanya.- UTUSAN











