NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan (KPM) menjangkakan semua pihak yang berkepentingan termasuk pemegang taruh serta ibu bapa yang terlibat akan menandatangani Polisi Perlindungan Murid atau CPP pada minggu hadapan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jangkaan itu dibuat memandangkan sesi persekolahan baru sahaja memasuki minggu yang pertama ketika ini.
“Minggu ini kita bagi peluang dahulu kerana sekolah baru sahaja dibuka. Jadi, saya ingat, mungkin minggu depan, kita dah boleh pastikan semua yang terlibat berbuat demikian (menandatangani polisi berkaitan).
“Untuk pengetahuan, polisi ini bukan sahaja akan melindungi kanak-kanak (termasuk murid) dari segi buli, tetapi juga gangguan seksual, apa-apa penderaan dan isu-isu yang terkait rapat dengan kesihatan mental. Semuanya terangkum dalam CPP itu,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Sheh Barakbah di Sungai Bakap di sini, hari ini.
Semalam, Fadhlina berkata, polisi berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen KPM untuk mencegah kegiatan buli di sekolah dan pihaknya tidak akan berkompromi sama sekali dalam hal itu.
Selain Polisi Perlindungan Murid, KPM juga memperkenalkan Manual Buku Sekolah Sejahtera, Sekolah Selamat yang akan dilaksanakan seiring dengan polisi tersebut.
“Itu juga sedang di peringkat akhir untuk kita kongsikan bersama dengan ibu bapa dan seluruh masyarakat tentang tanggungjawab kita bersama untuk melindungi anak-anak kita,” ujar beliau.-UTUSAN










