Projek ladang babi Bukit Tagar perlu dibatalkan - Utusan Malaysia

Projek ladang babi Bukit Tagar perlu dibatalkan

ANWAR Ibrahim ditemui selepas menunaikan Solat Jumaat di Surau Al-Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Projek pembangunan ladang babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor perlu dibatalkan ekoran kegelisahan masyarakat setempat yang tidak senang dengan pelaksanaan projek oleh kerajaan negeri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kabinet sudah melakukan perbincangan mengenai ladang babi yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Katanya, kerajaan berpandangan isu persekitaran dan keresahan rakyat pelbagai kaum perlu diberi perhatian sebelum Bukit Tagar dijadikan kawasan penternakan babi.

“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. (Ini) supaya beri pandangan, kalau boleh batalkan dahulu projek (ladang babi di Bukit Tagar) dan pertimbangkan kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin,” katanya ketika ditemui selepas Solat Jumaat di Surau Al Amin, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini hari ini.

Pada 10 Januari lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita serta tidak bersetuju dengan perancangan operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat yang dijadual bermula tahun ini sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda memahami kewujudan penternakan babi secara kecil dan terkawal bagi memenuhi keperluan sumber makanan masyarakat Cina dan bukan Islam di Selangor.

Baginda menegaskan bahawa projek penternakan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat di Selangor yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam.

Anwar berkata, walaupun teknologi yang digunakan itu baik tetapi ladang babi itu berada di kawasan yang menimbulkan keresahan masyarakat, lantas tidak wajar diteruskan.

“Pilihan kita kadang-kadang, bangunkan di tempat sama yang ada ternakan dengan syarat yang ketat tentang teknologi baharu. Jadi itu pandangan yang diberikan rakan-rakan (di dalam Kabinet).

“Saya akan bincang semula dengan Menteri Besar Selangor, mengambil kira keresahan dan juga nasihat serta titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.

Anwar berkata, walaupun isu ladang babi berada di bawah kuasa kerajaan negeri tetapi ia sudah menimbulkan kegelisahan.

“Malah, isu ladang ternakan ayam, ternakan khinzir lebih lagi masalah pencemaran yang sangat berat (teruk) seperti mana yang berlaku di Morib sekarang.

“Sebab itu perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan menganggap ia boleh diselesaikan dengan mudah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN