Perlu ubah akta sebelum Tingkatan Enam, matrikulasi diambil alih KPT - Zambry

Perlu ubah akta sebelum Tingkatan Enam, matrikulasi diambil alih KPT – Zambry

DR. ZAMBRY Abdul Kadir berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pendidikan Tinggi di Dewan Perdana PICC, Putrajaya hari ini.-UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa perubahan akta dan undang-undang perlu dibuat sebelum Tingkatan Enam dan Matrikulasi diambil alih sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada perancangan besar dalam Rancangan Pendidikan Tinggi yang memperkenalkan satu ekosistem baharu dikenali sebagai prauniversiti.

“Langkah awal bagi memastikan Tingkatan Enam dan matrikulasi dilaksanakan di peringkat pendidikan tinggi, maka kita perlu menyelesaikan dulu beberapa perubahan dalam akta atau undang-undang yang sedia ada.

“Kita harapkan perkara itu dapat dilaksanakan pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Zambry berkata, seiring dengan RPN 2026-2035, sistem pendidikan tinggi negara akan merangkumi pendekatan yang lebih luwes iaitu lebih fleksibel dan adaptif.

“Ia tidak lagi terhad kepada pembangunan fizikal dan kurikulum khusus. Sebelum ini, pelajar terikat dengan struktur tertentu untuk menamatkan pengajian. Namun kini, pelajar boleh memilih laluan yang lebih terbuka melalui apa yang dipanggil ‘empat kuadran’.

“Pelajar juga boleh memanfaatkan sistem ‘jukebox’ di mana mereka boleh mengambil kursus daripada universiti berbeza berdasarkan persefahaman antara institusi.

“Sebagai contoh, Universiti Malaya (UM) akan mempunyai kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pelajar boleh mengikuti beberapa kursus di UM, sebahagian di UKM dan sebahagian lagi di UTM,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa KPT akan memulakan satu pemukiman khas (retreat) susulan peluncuran rasmi RPN bagi memastikan setiap agenda yang digariskan dapat dilaksanakan secara berkesan.

Menurut Zambry, pemukiman berkenaan turut melibatkan panduan dan pandangan daripada pakar-pakar berkaitan bagi membantu kementerian menentukan kaedah terbaik dalam melaksanakan reformasi pendidikan tinggi, termasuk pembentukan ekosistem prauniversiti.

Katanya, langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh kesinambungan pendidikan daripada peringkat prauniversiti ke pendidikan tinggi secara lebih tersusun dan bersepadu. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN