MELAKA: Seorang pelajar lelaki tingkatan enam meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika sedang berbaris untuk menghadiri orientasi kokurikulum di Sekolah Menengah Tinggi Melaka, Jalan Chan Koon Cheng, di sini semalam.
Mangsa berusia 18 tahun itu dikatakan berada bersama rakan-rakan sekelas di koridor sekolah sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira pukul 2.40 petang.
Guru yang berada di lokasi segera menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun, usaha pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) selama kira-kira 68 minit gagal menyelamatkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.11 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka hari ini mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada Coronary Artery Anomalies atau keabnormalan pada saluran arteri koronari.
“Bedah siasat yang dijalankan oleh Dr. Nor Fadillah dan Dr. Asraff selesai kira-kira pukul 1.40 petang mendapati saluran arteri koronari si mati bersaiz kecil dan tidak normal.
“Pemeriksaan turut mendapati jantung si mati mempunyai abnormaliti dari segi saiz dan pertumbuhan, manakala tiada sebarang kecederaan lain yang boleh dikaitkan dengan punca kematian.
“Sehubungan itu, pakar forensik telah mengklasifikasikan punca kematian sebagai Coronary Artery Anomalies,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Halim, hasil siasatan mendapati mangsa merupakan pelajar Tingkatan Enam aliran sastera yang baharu bersekolah di sekolah berkenaan sejak kira-kira tiga minggu lalu.
Beliau berkata, hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati remaja itu tidak mempunyai sejarah menerima rawatan bagi sebarang penyakit dan tidak pernah mengadu mengalami masalah kesihatan sebelum kejadian.
“Mangsa juga dikenal pasti sebagai seorang yang aktif dalam aktiviti sukan dan tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan yang ditemui hasil siasatan polis serta bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) dan siasatan telah selesai selepas punca kematian disahkan berpunca daripada masalah kesihatan semula jadi. – UTUSAN










