Penyokong anjur majlis Solat Hajat Perdana, tuntut keadilan Najib Razak

Penyokong anjur majlis Solat Hajat Perdana, tuntut keadilan Najib Razak

SEBAHAGIAN penyokong mengadakan Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Satu Majlis Solat Hajat Perdana Demi Najib 3.0 para penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai usaha kerohanian dan simbolik rakyat bagi memohon ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.

Penganjuran majlis berkenaan disifatkan sebagai manifestasi doa, solidariti dan harapan rakyat, khususnya penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), yang terus istiqamah mendoakan kesejahteraan, kekuatan serta keadilan selaras dengan prinsip keadilan Islam dan kedaulatan undang-undang negara.

Menurut kenyataan Team Najib Razak, majlis berkenaan turut menampilkan empat penceramah jemputan yang menyampaikan ucapan serta tausiyah, menyentuh sumbangan dan peranan signifikan Najib dalam landskap politik negara, termasuk jasa beliau dalam memperkukuhkan UMNO dan BN ketika menerajui kerajaan.

Empat penceramah itu ialah Mohd Shafiq Fhadly Mahmud, Yuktes Vijay, Zee How Tai serta Ustaz Mohd Shukri Samsudin selaku imam.

Menurut Mohd Shafiq Fhadly, Najib wajar diberikan ruang sewajarnya untuk kembali bersama kepimpinan serta akar umbi UMNO dan BN, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang akan datang.

“Datuk Seri Najib merupakan aset strategik dan ramuan terbaik kepada kebangkitan semula UMNO dan BN. Pengalaman luas, kepimpinan berwibawa serta pengaruh beliau terbukti mampu menyatukan parti dan mengembalikan keyakinan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, bekas Presiden UMNO itu kekal sebagai antara figura utama parti yang mempunyai keupayaan besar untuk menarik sokongan akar umbi serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap hala tuju UMNO dan BN.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan harapan agar semua proses perundangan yang masih berjalan membabitkan Najib dapat ditangani secara adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, termasuk mengambil kira prinsip keadilan sejagat, ihsan serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Kesemua penceramah turut senada bahawa Najib masih menggunakan saluran perundangan yang sah bagi mendapatkan keadilan, termasuk melalui representasi dan permohonan semakan mengikut peruntukan undang-undang yang dibenarkan.

“Mereka menegaskan tuntutan keadilan ini bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, sebaliknya menekankan kepentingan prinsip fair trial, ihsan serta kebijaksanaan dalam pelaksanaan hukuman, khususnya apabila usaha berterusan dilakukan melalui saluran undang-undang yang sah,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN