PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan mangsa dalam skandal penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebaliknya arkitek dan dalang utama penyelewengan tersebut.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, bukti kukuh menunjukkan individu yang kini dipersalahkan Najib hanyalah orang bawahan yang bertindak atas arahan atau kelulusan beliau melalui orang tengah, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Setiap saksi beroperasi dalam struktur dibentuk dan dikawal tertuduh. Kerjasama mereka dalam melakukan kesalahan tidak membebaskan beliau daripada tanggungjawab.
“Sebaliknya, keterangan mereka mendedahkan Najib sebagai pihak berkuasa utama, penerima manfaat dan kuasa penggerak di sebalik semua tindakan,” katanya menggulung hujahan pendakwaan di akhir kes pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.
Menurut Ahmad Akram, tertuduh tidak boleh mendakwa dirinya mangsa kerana segala keputusan, arahan dan kelulusan berpunca daripada pejabat serta akaunnya sendiri. Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB, dengan jelas menetapkan sebarang pelaburan atau pinjaman mesti mendapat kelulusan bertulis daripada Najib.
Hujahan pembelaan yang menggambarkan tertuduh sebagai mangsa pegawai bawahan tidak lebih sekadar sandiwara politik.
“Tiada keputusan besar dalam 1MDB boleh dibuat tanpa kelulusan tertuduh. Malah, campur tangan beliau menyebabkan lembaga pengarah meluluskan usaha sama dengan PetroSaudi walaupun wujud keraguan serius,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam berkata, Najib tidak pernah diperdaya oleh pengurusan 1MDB atau Jho Low, sebaliknya, beliau memperkukuh kedudukan Jho Low dalam urusan rasmi dan peribadi, walaupun terdapat banyak tanda amaran sejak 2009.
“Pada 2009 hingga 2016, Jho Low terlibat secara langsung dalam pelbagai urusan bersama tertuduh daripada mesyuarat dengan Goldman Sachs hingga rundingan pelan rasionalisasi di China.
Semua itu berlaku dengan pengetahuan dan restu tertuduh,” katanya.
Jelas Mohamad Mustaffa, Jho Low berfungsi sebagai proksi dan fasilitator utama bagi pihak Najib. “Jadi, bagaimana beliau boleh mendakwa diperdaya? Jawapannya, tidak mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pula berhujah bahawa alasan ‘derma Arab’ tidak dapat membersihkan wang haram.
Menurutnya, kebergantungan Najib kepada Jho Low dan surat-surat yang tidak disahkan menunjukkan sikap ‘sengaja membutakan mata’.
“Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau mempunyai tanggungjawab mengesahkan sumber dana berjumlah ratusan juta ringgit ke akaun peribadi, tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian. Pembelaan kononnya tidak tahu adalah tidak boleh diterima,” katanya.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini dengan pembelaan dijangka menggulung hujah mereka. – UTUSAN










