PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak gagal menghidupkan semula saman menuntut RM1.9 juta daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika memegang jawatan itu.
Tommy menyandang jawatan Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020. Najib didakwa buat pertama kali bagi kesalahan membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masing-masing pada 4 Julai dan 20 September 2018.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ravinthran N. Paramaguru yang bersidang bersama Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Nadzarin Wok Nordin sebulat suara memutuskan bahawa bekas Peguam Negara itu tidak mempunyai sebarang imuniti, namun mahkamah mendapati tidak ada salah laku dalam tindakan Tommy.
“Mahkamah Tinggi (sebelum ini) memutuskan bahawa responden mempunyai kekebalan dan tindakannya tidak boleh diadili (non-justiciable). Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tindakan sivil tersebut adalah pramatang kerana kes-kes jenayah belumpun dimulakan ketika saman itu difailkan.
“Berhubung dengan isu kekebalan dan kebolehadilan (justiciability), kami tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan kekebalan kepada Peguam Negara terhadap tindakan sivil terhadapnya secara peribadi. Kes-kes yang dirujuk oleh Mahkamah Tinggi tidak terpakai kerana terdapat kes-kes jenayah di mana budi bicara Peguam Negara telah dicabar.
“Walau bagaimanapun, kami bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa oleh sebab kes-kes jenayah belum dimulakan pada masa tindakan sivil ini difailkan, tuntutan bagi salah laku jawatan, proses jahat dan kecuaian adalah jelas pramatang. Kami juga mendapati bahawa tort proses jahat (tort of malicious process) tidak wujud dalam undang-undang kita,” kata Hakim Ravintharan ketika membaca penghakiman ringkas panel itu.
Mahkamah menolak rayuan tersebut dan turut memerintahkan Najib membayar kos sebanyak RM12,000.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memfailkan rayuan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur bertarikh 25 November 2022 yang membatalkan samannya atas alasan ia remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Najib memfailkan saman tersebut pada 22 Oktober 2021 yang antara lain mendakwa Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah dan telah campur tangan dalam siasatan serta tidak mengkaji kesnya dengan objektif.
Selain itu, bekas Peguam Negara itu didakwa telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib.
Najib turut mendakwa 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.
Najib antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya.-UTUSAN










