Najib jalani tahanan rumah jika Titah Adendum didapati sah

Najib jalani tahanan rumah jika Titah Adendum didapati sah

MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memberitahu bahawa bekas Perdana Menteri itu perlu dibebaskan serta merta sekiranya Mahkamah Tinggi pada Isnin ini memutuskan bahawa Titah Adendum sah dan boleh dilaksanakan.

Titah Adendum berkait titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah selepas didapati bersalah atas penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tambah peguam itu, walaupun pihak kerajaan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut (sekiranya keputusan berpihak kepada Najib), ia tidak menghalang bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk pulang ke rumah.

Bagaimanapun, ketika disoal mengenai apa yang akan berlaku pada Titah Adendum tersebut sekiranya pada 26 Disember ini, Mahkamah Tinggi berbeza mendapati Najib bersalah atas tuduhan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Muhammad Shafee tidak memberikan jawapan yang spesifik.

“Itu perkara yang berbeza. Itu adalah 1MDB. Apa yang saya katakan sekarang berkait dengan SRC International Sdn. Bhd.,” kata peguam itu.

Untuk rekod, terdapat dua keputusan membabitkan Najib yang akan diputuskan oleh dua mahkamah berbeza pada minggu hadapan.

Pada 22 Disember ini (Isnin), Hakim Alice Loke Yee Ching akan membuat keputusan berhubung kesahan dan pelaksanaan Titah Adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Pada 26 Disember ini pula (Jumaat), Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) akan membuat keputusan di akhir pembelaan berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Selain itu, dalam sidang media yang dibuat seminggu sebelum keputusan kes 1MDB, Muhammad Shafee sekali lagi menimbulkan isu bahawa Najib tidak diberikan perbicaraan yang adil.

Beliau membuat kenyataan tersebut dengan merujuk kepada kenyataan media Jabatan Peguam Negara bertarikh 12 Disember lalu yang antara lainnya menyatakan bahawa jabatan tersebut akan memohon untuk mengekstradisi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner ke Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Leissner yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di New York atas peranannya dalam skandal kewangan melibatkan 1MDB.

Selain itu, Muhammad Shafee turut mendakwa bahawa kerajaan Amerika Syarikat (AS) dengan sengaja menahan maklumat yang boleh membersihkan nama Najib dalam bentuk bahan dan representasi yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS.

Tambahnya, maklumat-maklumat tersebut berpotensi membantu Najib tersebut telah disekat oleh pihak berkuasa AS dan tempatan.

Ini termasuk menghalang Roger Ng daripada memberi penjelasan lanjut atas alasan terikat dengan perintah perlindungan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah AS walaupun dalam pada sama selepas diekstradisi ke Malaysia, lelaki berkenaan telah memberi kenyataan selema beberapa hari kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial berhubung skandal kewangan itu.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee menafikan bahawa tindakannya membuat sidang media itu seminggu sebelum keputusan kes penyelewengan dana itu diputuskan adalah untuk menangguhkan prosiding tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN