Penghantar barang didenda RM2,000 cederakan wartawan

Penghantar barang didenda RM2,000 cederakan wartawan

HARESH Deol semasa sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap seorang penghantar barang kerana mencederakan wartawan sukan, Haresh Deol, November tahun lalu. 

Majistret Aina Azahra Arifin mengenakan denda itu selepas tertuduh, R. Krishnan, 37, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula jurubahasa pada prosiding hari ini. 

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Menurut pertuduhan, Krishnan didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas dan dikenali sebagai Ragu, melakukan kesalahan itu terhadap Haresh atau nama penuhnya, Haresh Singh Chain Singh, 44, di depan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini antara pukul 3.10 dan 3.32 petang, pada 25 November 2025.

Krishnan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya. 

Mengikut fakta kes, Haresh yang bekerja sebagai penyunting berita di syarikat Twentytwo13, sedang berjalan di kawasan berhampiran tempat letak kereta Bangsar Village 3, sebelum didatangi Krishnan dan Ragu yang berpura-pura sedang bercakap di telefon. 

Haresh yang baru pulang dari sebuah restoran, berasa tidak selamat dan cuba melarikan diri, namun dikejar dua lelaki terbabit sebelum dia terlanggar seorang pejalan kaki hingga terjatuh di bahu jalan. 

Dua lelaki itu itu kemudian bertindak memukul mangsa di muka dan badan.

Lelaki yang masih bebas itu kemudian memberitahu mangsa supaya tidak mengganggu isterinya dan apabila mangsa bertanya siapakah isteri yang dimaksudkan, dua lelaki itu terus melarikan diri. 

Haresh telah mengejar kedua-dua lelaki itu serta mengambil beberapa keping gambar insiden sebagai bukti dan keseluruhan kejadian dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) serta terdapat orang awam menyaksikan kejadian tersebut.

Mangsa kemudian bergegas ke pondok polis berhampiran untuk mendapatkan bantuan serta mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan tisu lembut serta lebam di hidung, cuping telinga kanan dan bahagian dada.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh berkata, kes itu melibatkan kepentingan awam dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai agar tidak melakukan kesalahan serupa.

“Perbuatan ini memberi ketakutan kepada orang ramai untuk berjalan di tempat awam yang pada bila-bila masa boleh diserang atau dipukul. Sekiranya mahkamah memberi hukuman ringan, penjenayah-penjenayah ini tidak akan gentar untuk melakukan kesalahan sama,” katanya.

Peguam bela, Mohamad Salihen Mastor yang mewakili tertuduh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung lima anak dan ibu. 

Katanya, tertuduh juga menyesal dengan perbuatan yang dilakukan selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN