KUALA LUMPUR: Siasatan polis mendapati serangan terhadap seorang wartawan sukan semalam oleh dua individu adalah lebih kepada hal peribadi.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan polis.
“Minta semua tidak buat sebarang spekulasi lain dan tunggu selesai siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan kes serangan itu.
Pengangur berusia 37 tahun itu ditahan di Taman Ikan Emas di sini pada pukul 2 pagi.
Suspek telah direman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini. Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Semalam, polis mengesahkan kejadian seorang wartawan sukan, Haresh Deol diserang dua individu.
Laporan polis berhubung kejadian dibuat oleh Haresh di Pondok Polis Bangsar. – UTUSAN








