PETALING JAYA: Jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu ditentukan sepenuhnya melalui keputusan Ahli Majlis Tertinggi PN berdasarkan merit, sokongan majoriti kepimpinan serta kemampuan menyatukan gabungan parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, perkara itu tidak bermakna penyerahan kuasa kepada mana-mana parti komponen susulan peletakan jawatan pengerusi sebelum ini.
Katanya, pencalonan pengerusi baharu PN terbuka kepada mana-mana pemimpin daripada parti komponen gabungan tanpa terikat kepada parti tertentu termasuk kemungkinan calon daripada Bersatu.
“Prinsip keterbukaan ini penting untuk memastikan PN terus berfungsi sebagai gabungan politik berteraskan muafakat, kebersamaan serta pembuatan keputusan secara kolektif.
“Pengerusi PN perlu dipilih berdasarkan merit, memperoleh sokongan majoriti kepimpinan tertinggi serta memiliki kewibawaan dan kebolehan untuk memimpin. Lebih penting, individu ini mesti mampu menerajui PN ke arah kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pemilihan pengerusi bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya perlu melahirkan seorang pemimpin yang mampu menyatukan keseluruhan komponen PN, merapatkan saf kepimpinan serta mendamaikan sebarang kemelut dan perbezaan dalam gabungan.
“Keutamaan mutlak PN adalah kepentingan gabungan dan keyakinan rakyat yang perlu mengatasi kepentingan individu atau hierarki parti.
“Semua pihak perlu mempunyai semangat dan matlamat yang sama untuk memperkasakan PN, sekaligus meyakinkan rakyat bahawa PN bersedia memimpin kerajaan selepas PRU akan datang,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd. Fadzil berkata, semua parti komponen termasuk Pas wajar menerima dengan hati terbuka sekiranya calon daripada parti masing-masing tidak memperoleh sokongan majoriti kepimpinan PN.
Pada masa sama, katanya, Bersatu juga perlu bersedia menerima keputusan bersama termasuk sekiranya calon daripada parti itu, walaupun bukan presiden parti, dipilih berdasarkan keyakinan dan sokongan kepimpinan tertinggi PN.
Beliau turut mencadangkan agar Majlis Presiden PN dibentuk sebagai langkah memperkukuh struktur gabungan supaya PN kekal relevan dan hubungan antara parti komponen terus terpelihara.
“Semua parti komponen digalakkan menghentikan polemik dan perbezaan yang boleh melemahkan PN, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuh organisasi, memperkemas jentera dan mendekati rakyat.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Pas memutuskan akan menerajui PN susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu. – UTUSAN










