SUNGAI SIPUT: Penduduk sekitar Perlop di sini hidup dalam kebimbangan apabila tiga ekor harimau belang dilaporkan berkeliaran di kawasan berkenaan hingga membaham haiwan ternakan.
Seorang penduduk, Khairol Ariffin Abdullah Jalil, 49, berkata, dia terserempak dengan haiwan itu di tepi jalan semalam sekitar pukul 8.17 malam, membabitkan dua ekor harimau bersaiz kecil dipercayai anak dan seekor harimau dewasa.
Katanya, kelibat haiwan pemangsa itu bukan kali pertama dilihat, sebaliknya penduduk di kawasan berkenaan sudah beberapa kali terserempak dengan harimau tersebut sejak Selasa lalu.
“Apa yang membimbangkan penduduk adalah penemuan bangkai lembu dipercayai dibaham harimau dalam ladang kelapa sawit.
“Situasi ini amat merisaukan kami kerana jarak bangkai itu ditemui dengan kawasan kediaman penduduk kurang 500 meter sahaja di Kampung PPMS Perlop 1,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ana, 30, berkata, dia tidak menyangka haiwan yang dilihat di tepi jalan dan disangka anjing itu merupakan harimau belang.
Katanya, pengalaman terserempak dengan haiwan liar itu pertama kali dialaminya yang sebelum ini biasa didengar melalui cerita-cerita penduduk lain.
“Saya nampak tiga ekor harimau berada di tepi jalan sekitar pukul 8.15 malam tadi ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Ketika itu saya fikir anjing tetapi apabila perlahankan kereta baru jelas nampak harimau.
“Perasaan ketika itu memang takut dan berharap tindakan segera dapat diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, susulan aduan yang diterima, pihaknya telah memasang dua perangkap berhampiran lokasi penemuan bangkai lembu.
“Susulan kemunculan harimau ini, orang ramai dinasihatkan tidak keluar ke hutan atau kebun bersendirian dan ketika keadaan gelap.
“Bagi penternak pula, kita nasihatkan mereka pastikan ternakan dikurung dalam kandang yang sesuai,” katanya. – UTUSAN










