Diskaun 30 peratus ETS, ERT ringankan kos perjalanan rakyat

Diskaun 30 peratus ETS, ERT ringankan kos perjalanan rakyat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian tiket tren elektrik (ETS) semua sektor termasuk Ekspres Rakyat Timuran (ERT).

Menterinya, Anthony Loke berkata, inisiatif itu turut melibatkan sektor ETS serta laluan JB Sentral – Tumpat – JB Sentral bagi perkhidmatan ERT.

Menurutnya, tawaran tersebut hanya terpakai bagi perjalanan pada hari Isnin hingga Khamis sebagai usaha menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan kod promosi boleh dibeli bermula esok hingga 30 April ini.

“Inisiatif ini ditawarkan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkasakan penggunaan pengangkutan awam melalui perkhidmatan kereta api yang lebih selesa, selamat dan efisien kepada rakyat,” katanya dalam sidang akhbar Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.

Tambahnya, langkah itu juga bertujuan mengurangkan kos perjalanan serta meningkatkan mobiliti rakyat di samping menyokong agenda pengangkutan awam yang lebih mampan.

“Tawaran ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan rel sebagai mod utama, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan dan meningkatkan mobiliti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, diskaun tersebut tidak terpakai semasa musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pengurusan kapasiti tren dapat dilaksanakan dengan lebih efisien ketika permintaan tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Express Rail Link (ERL) turut memperkenalkan inisiatif bersasar menerusi MyPutrajaya Monthly Travel Card (MTC) dan MyKLIA Monthly Travel Card.

Katanya, MyPutrajaya MTC ditawarkan khusus kepada penjawat awam terutama yang bekerja atau menetap di Putrajaya, manakala MyKLIA Monthly Travel Card pula dikhaskan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Lapangan Terbang KLIA Terminal 1 dan Terminal 2. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN