PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan Prasarana Malaysia Berhad mengambil tindakan segera bagi meningkatkan standard penyelenggaraan tren agar dapat mengurangkan gangguan perkhidmatan yang semakin kerap berlaku.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menyedari kekerapan gangguan yang berlaku beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna.
Menurutnya, beliau sendiri berasa kecewa dengan situasi tersebut lebih-lebih lagi ketika kerajaan sedang menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
“Saya juga berang kerana hampir setiap minggu berlaku gangguan. Apabila kita galakkan orang ramai guna tren, sudah tentu mereka akan persoalkan apabila perkhidmatan sering terganggu.
“Namun, gangguan ini bukan sesuatu yang kita mahukan. Ia melibatkan isu teknikal yang sedang diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar Kempen Penggunaan Rel Bagi Menangani Peningkatan Kos Bahan Api di sini, hari ini.
Katanya, walaupun langkah penambahbaikan sedang dilaksanakan, terdapat juga insiden luar jangka seperti kerosakan suis dan sistem isyarat yang boleh menjejaskan operasi tren.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penerusan Pas Bulanan Perjalanan Tanpa Had My50 di Lembah Klang bagi penggunaan tanpa had selama 30 hari.
Katanya, Pas My50 dengan diskaun sebanyak 67 peratus daripada nilai sebenar RM150, bagi penggunaan tanpa had selama 30 hari melibatkan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.
Menurutnya, sebanyak 40 peratus pengguna telah menggunakan pas My50 ini, kerajaan berharap lebih ramai rakyat Malaysia di Lembah Klang untuk memanfaatkan pas ini.
“Inisiatif ini memberi manfaat besar kepada pengguna harian dan berkala dengan memastikan akses berterusan ke tempat kerja tanpa beban kewangan tambahan, di samping membantu pengguna merancang perbelanjaan bulanan dengan lebih teratur susulan kenaikan kos bahan api,” katanya. – UTUSAN








