Baik pulih MRT Putrajaya masih diteruskan

Baik pulih MRT Putrajaya masih diteruskan

mrt
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerja-kerja membaik pulih sistem isyarat pada Laluan Transit Aliran Massa (MRT) Putrajaya masih dijalankan susulan gangguan perkhidmatan yang berlaku semalam.

Rapid Rail Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan teknikal mendapati sejumlah besar kabel gentian optik telah dipotong dan dicuri, menyebabkan kerja pembaikan menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan operasi kembali stabil dan selamat sebelum perkhidmatan penuh dapat disambung semula.

“Berikutan itu, tren yang beroperasi antara Stesen Kwasa Damansara dan Putrajaya Sentral kini dikendalikan secara manual, menyebabkan pergerakan menjadi lebih perlahan serta tempoh berhenti di setiap stesen lebih lama.

“Kekerapan tren dijangka antara 20 hingga 30 minit,” katanya.

Sebagai langkah sementara, perkhidmatan bas perantara percuma disediakan antara Stesen Kwasa Damansara dan Putrajaya Sentral dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

Penumpang yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen atau anggota polis bantuan yang bertugas.

Rapid Rail turut menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan lebih awal dan mempertimbangkan pilihan pengangkutan lain bagi mengelakkan kelewatan.

“Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi tren melalui laman media sosial Rapid KL atau aplikasi PULSE.

“Rapid Rail memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama semua penumpang sepanjang tempoh gangguan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN