Penahanan Maduro satu pelanggaran undang-undang antarabangsa - Anwar

Penahanan Maduro satu pelanggaran undang-undang antarabangsa – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) merupakan pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa serta penggunaan kekerasan secara tidak sah kepada sebuah negara berdaulat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bimbang melihat perkembangan di Venezuela memandangkan operasi berkenaan dilaksanakan dalam skala besar.

“Tindakan sedemikian merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan bererti penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

“Presiden Venezuela dan isterinya perlu dibebaskan tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, AS melancarkan serangan ke atas Venezuela dengan letupan menggegarkan ibu negara Caracas, susulan ancaman berbulan-bulan oleh Presiden AS, Donald Trump terhadap Maduro.

Operasi tersebut turut membawa kepada penangkapan pemimpin berhaluan kiri itu dan isterinya, Cilia Flores.

Perdana Menteri berkata, walau apa pun alasan AS, penyingkiran secara paksa seorang ketua kerajaan yang sedang memerintah melalui campur tangan luar bakal mendatangkan bahaya.

Beliau berkata, tindakan itu dapat menghakis kekangan terhadap penggunaan kuasa antara negara dan melemahkan rangka kerja perundangan yang menjadi asas ketertiban antarabangsa.

Katanya, menjadi hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan politik mereka sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

“Seperti yang dibuktikan oleh sejarah, perubahan kepemimpinan secara mendadak yang didorong oleh kekerasan luar akan membawa lebih banyak mudarat daripada manfaat.

“Ia terutama bagi sebuah negara yang berdepan kesukaran ekonomi berpanjangan dan tekanan sosial mendalam,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia menghormati undang-undang antarabangsa dan kedaulatan sebagai asas utama terhadap hubungan aman antara negara.

Katanya, penglibatan secara konstruktif, dialog dan usaha meredakan ketegangan kekal sebagai laluan terbaik ke arah penyelesaian yang melindungi orang awam serta membolehkan rakyat Venezuela mengejar aspirasi sah mereka tanpa menanggung sebarang kemudaratan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN