SEREMBAN: Pemilik kenderaan mewah dikesan sebagai golongan yang kerap melakukan kesalahan menyalahgunakan lorong kecemasan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kebanyakan kes dikesan berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Senawang di sini.
“Penyalahgunaan lorong kecemasan mula dikesan seawal pukul 11 pagi dan hampir setiap hujung minggu. Hasil pemantauan juga mendapati, kebanyakan yang menggunakan lorong kecemasan terdiri daripada pemilik kenderaan mewah,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Kesalahan Penyalahgunaan Lorong Kecemasan di RnR Seremban di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, mahu sampai lebih cepat juga menjadi antara alasan utama diberikan pengguna jalan raya yang dikesan menyalahgunakan lorong kecemasan di lebuh raya di sini.
“Antara alasan yang sering diberikan adalah bosan berada dalam kesesakan lalu lintas, mahu sampai cepat dan ada juga yang mengakui mereka sudah biasa menggunakan lorong kecemasan kerana sebelum ini tidak pernah ditahan atau disaman,” katanya.
Katanya lagi, sepanjang tempoh penguatkuasaan dari 20 Disember hingga kini, sebanyak 325 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan di bawah Kaedah 53(1), Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 itu.
Tambahnya pengeluaran kompaun dalam tempoh tersebut merupakan antara yang tertinggi direkodkan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Sepanjang tahun 2025, JPJ negeri ini merekodkan sebanyak 2,288 kes penyalahgunaan lorong kecemasan sekali gus menunjukkan tahap kesedaran dan pematuhan pengguna jalan raya yang masih rendah,” katanya. – UTUSAN










