PETALING JAYA: Pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dibuat berasaskan pelanggaran jelas terhadap Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), khususnya berkaitan aspek disiplin, kod etika dan tatakelakuan ahli parti.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, setiap aduan yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin disertakan dengan bukti dan keterangan saksi, sekali gus menunjukkan kes tersebut mempunyai asas kukuh untuk disiasat.
Katanya, Saifuddin telah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin dan diberikan ruang sewajarnya untuk membela diri.
“Setiap aduan yang dirujuk kepada Lembaga Disiplin biasanya dikepilkan bersama-sama bukti dan keterangan saksi. Apabila seseorang dipanggil menghadap Lembaga Disiplin dengan bukti dan saksi yang ada, pada kefahaman saya, seseorang itu sebenarnya telah didapati bersalah.
“Apabila dipanggil oleh Lembaga Disiplin, itu adalah peluang untuk menyatakan kenapa seseorang itu tidak boleh dikenakan tindakan disiplin atas kesalahan yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, Saifuddin mendakwa pemecatannya daripada keahlian Bersatu berkuasa semalam dibuat tanpa melalui proses yang adil.
Beliau yang sebelum ini Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, mengesahkan menerima surat daripada Lembaga Tatatertib parti.
Tun Faisal berkata, Lembaga Disiplin wajib melaksanakan tugas berpandukan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan setiap aduan bertulis berkaitan salah laku atau pelanggaran perlembagaan dirujuk untuk siasatan dan keputusan.
“Keputusan yang boleh dibuat termasuk dibebaskan, diberi amaran, digantung keahlian, dilucutkan jawatan atau dipecat daripada parti,” katanya.
Katanya, setiap individu dikenakan tindakan Lembaga Disiplin kerana telah melakukan kesalahan, antaranya melanggar Perlembagaan Bersatu dan tidak menghormati keputusan parti atau melanggar kod etika ahli.
“Dalam hal ini, Saifuddin sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sewajarnya lebih memahami akibat kepada tindakannya sekiranya dia didapati melakukan pelanggaran disiplin parti,” katanya.










