Pembekuan perolehan diteruskan, jangan ganggu gugat siasatan

Pembekuan perolehan diteruskan, jangan ganggu gugat siasatan

ANWAR Ibrahim ketika menyampaikan ucapan di Majlis Peluncuran DIPN di MITEC di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembekuan semua perolehan melibatkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri termasuk projek yang telah diluluskan tetapi belum dimuktamadkan akan diteruskan bagi membolehkan penelitian semula dilakukan secara telus dan bertanggungjawab.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua keputusan perolehan selepas ini akan diputuskan melalui mekanisme berpusat berasaskan kepakaran teknikal, keperluan sebenar angkatan dan kemampuan kewangan negara, bukan ditentukan secara individu.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa sebarang isu atau siasatan melibatkan segelintir individu tidak wajar mencalar integriti dan semangat keseluruhan anggota di kementerian serta agensi penguatkuasaan.

“Saya tegaskan pembekuan semua perolehan. Tidak harus sesiapa pun ganggu-gugat. Ia mesti melalui proses yang lebih telus dan dipertanggungjawabkan kepada kepimpinan tinggi. Kita mempunyai DIPN dan saya melihat keperluan satu agensi atau pusat yang membuat keputusan secara lebih telus dan berwibawa.

“Kemahiran dan kepakaran itu ada pada anda, bukan pada saya, untuk menentukan jenis senjata dan kelengkapan yang diperlukan mengikut keutamaan serta keterbatasan yang ada dengan mengikut proses yang telus dan munasabah.

“Ini jaminan saya. Seluruh jemaah menteri akan bersama memperbaiki dan mengangkat semula peranan serta keupayaan, selain melaksanakan DIPN berpandukan teras-teras tersebut,” katanya dalam Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kebajikan anggota keselamatan akan terus diberi keutamaan, termasuk peningkatan gaji, bantuan pendidikan anak-anak, termasuk kemudahan prasarana dan perumahan anggota.

“Kerajaan berikrar memastikan keutamaan dan kebajikan mereka itu tidak diabaikan. Kita memberikan perhatian dan mohon supaya kerajaan termasuk Kementerian Kewangan memberi tumpuan tentang kebajikan anggota tentera.

“Mudah-mudahan episod gelap dan muram, seperti apa yang diungkapkan sebagai ‘puting beliung’. Jarang berlaku puting beliung di Malaysia ini, tetapi dua tiga tahun sekali dia mari melanggar.

“Semoga (isu perolehan) tidak memberikan gambaran yang negatif dan dengan dasar ini, berakhirnya pembekuan untuk dibawa melalui jentera dan konsep dasar baharu ini kita berikan satu harapan baru bagi negara,” kongsinya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN