KUALA LUMPUR: Keupayaan sesebuah negara mempertahankan kedaulatan bukan sahaja bergantung kepada kekuatan aset dan angkatan pertahanan, malah memerlukan perancangan jelas serta kapasiti yang mampu menyokong pelaksanaannya dalam berdepan pelbagai cabaran keselamatan.
Berteraskan keperluan itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperkenalkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 sebagai hala tuju pembangunan sektor pertahanan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
PSPN 2026-2030 dibangunkan berasaskan aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam menghadapi landskap keselamatan yang semakin kompleks, mencabar dan tidak menentu.

Pelan tersebut merupakan kesinambungan kepada Pelan Strategik MINDEF 2021-2025 yang ditambah baik menerusi pendekatan lebih inklusif, adaptif dan responsif terhadap keperluan pertahanan masa kini serta masa hadapan.
Ia menggariskan tujuh teras strategik yang diperincikan menerusi 29 strategi utama dan disokong oleh 103 inisiatif khusus yang dirangka secara komprehensif bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara menjelang 2030.
RTKP 2026-2030 pula berperanan sebagai sokongan kepada KPP yang menyediakan hala tuju pembangunan kapasiti pertahanan negara menerusi pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) serta Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat.
RTKP menumpukan kepada pembangunan warga pertahanan merangkumi anggota ATM, angkatan sukarela, veteran ATM, warga awam pertahanan dan rakyat menerusi tiga teras utama iaitu meningkatkan keberkesanan tenaga kerja pertahanan, menyemai semangat patriotisme serta memupuk bakat dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kedua-dua inisiatif tersebut dibangunkan hasil penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran pelbagai pihak di MINDEF dan ATM, selain mendapat sumbangan daripada rakan-rakan strategik.

2026-2030 dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 di Kuala
Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Katanya, landskap pertahanan dan keselamatan dunia kini banyak dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik, kemajuan teknologi serta konflik yang berlaku di pelbagai rantau.
“Ketidaktentuan geopolitik dunia, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi, ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks, semuanya mengubah landskap keselamatan dan pertahanan secara drastik.
“Pada masa sama, konflik bersenjata yang berlarutan seperti di Asia Barat dan Ukraine masih memberi kesan langsung kepada kestabilan global.
“Perubahan inilah yang telah kita teliti dalam Kajian Separuh Penggal KPP bagi memperbaiki kelompongan dan membina perancangan pertahanan negara yang lebih responsif dan adaptif,” katanya pada Majlis Pelancaran PSPN dan RTKP 2026-2030 di sini semalam.
Berhubung pelaksanaan PSPN, Mohamed Khaled berkata, pelan tersebut menjadi mekanisme bagi menterjemahkan segala yang digariskan dalam KPP kepada pelaksanaan yang tersusun berasaskan tujuh teras strategik.
“Kita hendak memastikan apa yang telah dinyatakan dalam KPP itu benar-benar dapat dilaksanakan. Ia berasaskan kepada tujuh perkara yang menjadi fokus dalam memastikan pelaksanaan strategi pertahanan negara dapat dicapai secara maksimum.
“Dalam KPP memang ada tujuh teras strategik dan kita tidak lari daripada itu,” katanya.
Mengenai RTKP pula, katanya, dokumen itu memperincikan keperluan pelaksanaan strategi pertahanan melalui pembangunan kapasiti termasuk aspek sumber manusia dan nilai yang perlu diterapkan dalam kalangan anggota tentera.
“Kalau lihat pelan strategik ini, semuanya dinyatakan dengan jelas. Apakah strategi tersebut dan dalam RTKP pula, apakah jenis sumber manusia yang diperlukan dalam ketenteraan? Apakah nilai-nilai yang perlu dibawa?
“Seorang tentera mesti berdisiplin, berani, berintegriti dan mempunyai semangat setiakawan. Bagaimana kita hendak memastikan semua nilai ini diterapkan dalam diri mereka? Semua itu dinyatakan dalam RTKP,” katanya.
Mengulas kedua-dua dokumen itu, beliau berkata, ia dirangka dengan ukuran pencapaian yang jelas bagi memastikan setiap strategi dilaksanakan dapat dinilai keberkesanannya.
“Semua itu ditunjukkan kerana kita hendak mengukurnya dan kita juga mahu rakyat menilai apa yang kita lakukan serta sama ada kita berjaya mencapai apa yang telah kita nyatakan,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, PSPN turut membantu kementerian mengurus serta mengagihkan sumber negara secara lebih cekap dan berkesan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
“Tiada organisasi, apatah lagi negara, boleh berjaya tanpa pelan yang jelas. Kita mempunyai pelbagai cita-cita untuk membangunkan Angkatan Masa Hadapan, memperkasa industri pertahanan tempatan, membina daya tahan negara yang kuat dan sebagainya.
“Tetapi semua itu hanya angan-angan jika tanpa perancangan tersusun, keutamaan yang jelas dan disiplin pelaksanaan yang tinggi. Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut,” katanya.
Mengenai usaha memperkasa kesejahteraan veteran ATM, Mohamed Khaled berkata, kementerian menyediakan peluang kerjaya kedua sebagai salah satu langkah intervensi bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan itu.
“Antaranya melalui pelaksanaan Program Work-Based Learning (WBL), pengukuhan peranan PERHEBAT dan pelancaran Program Reskilling dan Upskilling serta Program PROWIRA Ready To Work Veteran untuk meningkatkan kebolehpasaran veteran ATM.
“Pemerkasaan kesejahteraan veteran ATM bukan sekadar bantuan kebajikan. Tetapi ia adalah manifestasi penghargaan dan penghormatan negara terhadap jasa mereka sepanjang berkhidmat,” katanya. – UTUSAN









