PETALING JAYA: Malaysia mengekalkan penarafan Tahap 2 bagi tahun ketiga berturut-turut dalam Laporan Pemerdagangan Orang 2026 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS).
Kementerian Dalam Negeri berkata, pengekalan kedudukan itu mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap usaha berterusan dan konsisten negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang.
Menurut kementerian, laporan berkenaan turut mengiktiraf kesungguhan Malaysia memerangi jenayah tersebut, antaranya menerusi peningkatan keseluruhan usaha penguatkuasaan undang-undang.
Pencapaian lain termasuk pendakwaan terhadap penjawat awam yang bersubahat dalam jenayah berkenaan serta peningkatan peruntukan kewangan kerajaan bagi melaksanakan operasi membanteras pemerdagangan orang.
“Terdapat penambahan ketara pegawai khusus termasuk di Sabah dan Sarawak, selain pindaan dua peraturan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi menambah baik tempoh kebenaran.
“Pindaan berkaitan Perintah Jagaan dan Perlindungan Lanjut (PJPL) serta pengurusan mangsa selepas tamat tempoh PJPL turut dilaksanakan, di samping pembukaan rumah perlindungan baharu yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Usaha lain merangkumi peningkatan kapasiti penguatkuasaan di Sabah dan Sarawak serta operasi di sektor berisiko tinggi seperti perladangan kelapa sawit dan pembuatan sarung tangan getah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 2025, Malaysia turut mengekalkan penarafan Tahap 2 dalam laporan sama selepas disenaraikan pada kedudukan itu pada 2024.
Pada 2023 pula, Malaysia dinilai pada Tahap 2 Pemerhatian, manakala kali terakhir negara berada pada Tahap 2 sebelum itu ialah pada 2017.
Menurut KDN, Laporan JNAS 2026 turut menggariskan lapan syor penambahbaikan untuk Malaysia bagi tempoh penilaian berikutnya iaitu dari 1 April lalu hingga 31 Mac tahun depan.
Katanya, antara syor utama termasuk meningkatkan mekanisme pengenalpastian awal mangsa, memperkukuh kualiti siasatan kes, memansuhkan pembiayaan yuran pengambilan pekerja serta memperluas kerjasama strategik dengan NGO.
“Sehubungan itu, kerajaan menetapkan beberapa strategi hala tuju, termasuk memperkukuh integriti penjawat awam dan mewujudkan sistem pengurusan mangsa yang memenuhi piawaian antarabangsa.
“Kerajaan juga akan memperkukuh kerjasama dengan pertubuhan masyarakat madani dan NGO, selain memanfaatkan teknologi digital serta kecerdasan buatan,” katanya.
KDN berkata, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) yang diterajui kementerian itu bersama agensi kerajaan lain beriltizam melaksanakan tindakan bersepadu, termasuk menangani trend baharu seperti penipuan pekerjaan.
“Usaha membanteras jenayah ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak menerusi pendekatan holistik berasaskan teras penguatkuasaan dan perundangan, perlindungan serta pencegahan.
“Kerajaan yakin pendekatan menyeluruh ini dapat memperkukuh keberkesanan usaha negara dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang, membawa pesalah ke muka pengadilan, menegakkan hak asasi dan melindungi mangsa, sekali gus menjamin ketenteraman awam serta keselamatan negara,” katanya.-UTUSAN











