Pemandu lori, bas akui ambil dadah

Pemandu lori, bas akui ambil dadah

AEDY Fadly Ramli meninjau Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Peringkat Negeri Selangor di Hentian Rawat dan Rehat Dengkil (Utara), semalam. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGKIL: Sebahagian daripada pemandu lori dan bas mengakui mengambil dadah bagi memastikan mereka tahan dan tidak me­ngantuk untuk perjalanan jauh.

Mereka juga mengakui de­ngan mengambil bahan terlarang itu mampu membantu memandu dalam tempoh yang lama untuk mengejar trip demi pendapatan lebih.

Perkara itu diakui seorang pemandu lori yang ditahan dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Dengkil oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, malam kelmarin.

Pemandu berusia lingkungan umur 40-an itu mengaku de­ngan mengambil dadah ia dapat mengelak daripada mengantuk yang membolehkannya memandu untuk tempoh yang lama.

Dia yang gagal dalam ujian air kencing dalam operasi itu berkata, menjadi kebiasaan dalam kalangan mereka untuk berbuat demikian demi mengejar trip.

“Ini kali kedua saya ambil dadah untuk memandu. Tidak sangka, kali ini kantoi (ditahan),” akuinya.

Perkembangan ini amat membimbangkan kerana kebanyakan kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat pasti membabitkan pemandu positif dadah.

Dalam kejadian 4 Januari lalu, seorang pemandu lori yang terlibat dalam kemala­ngan meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Tenang Jaya, Pekan Tenang, Segamat, Johor didapati positif dadah.

Mei tahun lalu, seorang kanak-kanak lelaki warga Si­ngapura meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki bersama empat yang lain dirempuh lori yang terbabas dan mema­suki lorong bertentangan. Pemandu lori disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Selain itu, seorang pemandu lori didapati berada di bawah pengaruh dadah telah merempuh dua buah kereta dalam kejadian di Batang Kali, Selangor pada awal Mei tahun lalu.

Turut berlaku pada September 2024 apabila seorang pemandu lori yang terbabit dalam nahas melibatkan dua buah lori dan lapan buah kereta sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki pada kejadian di Jalan Seremban-Tampin didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli mengakui terdapat pemandu mengambil bahan terlarang termasuk ganja bagi elak mengantuk ketika memandu dan mahu mengejar ‘trip’ bagi mendapat pendapatan tambahan.

Katanya, perkara itu dikesan apabila setiap kali JPJ me­ngadakan operasi membabit kenderaan berat terutama lori dan bas.

Katanya, dalam operasi di Dengkil itu seramai 21 pemandu telah ditahan dan diperiksa sebelum diarahkan menjalani ujian air kencing.

“Daripada jumlah itu, lima didapati positif dadah dengan empat kes membabitkan pengambilan Methamphetamine dan satu kes ganja,” katanya.

Sementara itu Aedy Fadly berkata, sebanyak 240,493 kenderaan perdagangan di­ambil tindakan menerusi Operasi Lebih Muatan di seluruh negara sepanjang tahun lalu, meningkat 47.2 peratus berbanding 126,974 kenderaan pada tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 465 kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, iaitu peningkatan 85.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Sebanyak 1.2 juta kende­raan diperiksa sepanjang ope­rasi itu dilaksanakan tahun lalu berbanding 829,392 kende­raan pada tahun sebelumnya.

“Antara kesalahan ter­tinggi direkodkan termasuk gagal mematuhi Notis Arahan Pemeriksaan Berkala, tiada Lesen Vokasional, penyelenggaraan tayar tidak memuaskan serta pemandu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL),” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, kenderaan boleh dilucut hak manakala permit serta lesen syarikat perdaga­ngan boleh dibatalkan jika didapati sengaja mematikan Sistem Kedudukan Global (GPS).

Katanya taktik itu bukan perkara baharu dan sering dikesan ketika operasi pe­nguatkuasaan dan beliau mem­beri amaran supaya pemandu serta pemilik syarikat tidak mengambil tindakan tidak wajar kerana hanya me­rugikan diri sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN