Pegawai kanan TLDM ada tiga rumah, dua hotel ditahan SPRM - Utusan Malaysia

Pegawai kanan TLDM ada tiga rumah, dua hotel ditahan SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempatnya bekerja.

Seorang lagi suspek ialah ahli perniagaan lelaki ditahan kira-kira pukul 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Ipoh, Perak.

Sumber berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 40-an dan 50-an dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak 2017 sehingga 2020.

“Siasatan awal turut mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima seperti pemilikan kira-kira lapan aset tak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya.

Tambah sumber, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 29 Januari ini terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret A. Hafiizh Abu Bakar selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi, Ipoh pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN