PARLIMEN: Malaysia ambil pendekatan berhati‑hati sokong Lembaga Keamanan Gaza

PARLIMEN: Malaysia ambil pendekatan berhati‑hati sokong Lembaga Keamanan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati sebelum menyatakan sokongan terhadap penubuhan Lembaga Keamanan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil kerana negara masih belum menerima kesahihan maklumat dan senarai penyertaan dalam lembaga terbabit.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut diminta mendapatkan senarai penuh berhubung penyertaan ahli lembaga.

“Dari segi ahli terbabit, terdapat bantahan contohnya kedudukan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang terbabit secara langsung dalam serangan di Iraq dan sikapnya yang tidak telus serta tidak adil dalam isu Palestin.

“Ada juga dimasukkan penyertaan Perdana Menteri Israel. Banyak pengumuman belum disahkan. Saya juga sedang menghubungi beberapa pemimpin dunia Arab, Turkiye dan lain-lain untuk mendapatkan pandangan mereka,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang mahu mengetahui pandangan Malaysia terhadap penyertaan dalam Lembaga Keamanan tersebut.

Perdana Menteri berkata, walaupun Malaysia menyokong usaha perdamaian, pelan gencatan senjata dan penubuhan Lembaga Keamanan oleh Trump masih tidak mampu menghentikan serangan Israel terhadap Gaza.

“Kita ini negara sederhana yang punyai kekuatan yang juga sangat sederhana. Sebab itu dalam apa-apa tindakan seperti ini, kita ambil kira rundingan dengan teman-teman, negara-negara jiran dan juga negara-negara sahabat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×