KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia berhubung isu rentas sempadan termasuk ruang udara dan sempadan maritim adalah jelas dan konsisten iaitu semua pertikaian perlu diselesaikan berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara sejagat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dengan kepentingan negara dijadikan asas utama.
Katanya, isu rentas sempadan merupakan perkara yang kompleks dan sensitif serta perlu dikendalikan secara aman dan rasional bagi mengelakkan berlakunya ketegangan di lapangan.
“Sebarang tindakan yang diambil berkaitan isu kedaulatan negara, kepentingan nasional akan terus diberikan keutamaan.
“Kerajaan sentiasa mengambil berat keselamatan perairan dan ruang udara negara serta memantau rapat sebarang perkembangan dan situasi semasa di kawasan berkenaan melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan isu tersebut ditangani dengan segera dan efisien tanpa menimbulkan ketegangan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Tan Sri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) berhubung jaminan kerajaan bahawa kerjasama Malaysia-Singapura dalam isu rentas sempadan seperti air, ruang udara dan sempadan maritim akan diputuskan secara adil serta tidak mencabar kedaulatan negara.
Menurut Ahmad Zahid, kerajaan melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguatkuasaan maritim lain sentiasa komited meneruskan operasi strategik di kawasan sensitif dengan mempamerkan kehadiran aset udara dan maritim negara.
Katanya, pelaksanaan rondaan berkala dan operasi oleh Pasukan Keselamatan Negara bertujuan memastikan keselamatan aktiviti ekonomi negara seperti eksplorasi dan eksploitasi hidrokarbon di kawasan berkenaan sentiasa terpelihara, di samping mempertahankan kedaulatan negara.
“Selain itu, Kementerian Luar juga terus mengemukakan bantahan kepada mana-mana negara yang didapati menceroboh kawasan perairan Malaysia.
“Kerajaan juga akan terus komited menambah baik aset agensi keselamatan dan penguatkuasaan maritim negara termasuk perolehan kapal baharu bagi memastikan aset maritim sentiasa berada dalam keadaan baik, mencukupi dan sedia diatur gerak demi menjamin keselamatan perairan negara,” katanya. – UTUSAN








