PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh seorang warga China dan ahli perniagaan bergelar Datuk kerana disyaki terlibat rasuah dalam pengurusan sisa elektronik (e-waste) di Selangor dan Negeri Sembilan.
Pertuduhan akan dilakukan di Mahkamah Sesyen berasingan atas pertuduhan rasuah melibatkan jumlah keseluruhan RM52,000.
Satu sumber memaklumkan, Datuk berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Kata sumber itu, beliau didakwa memberi suapan sebagai dorongan atau upah bagi mendapatkan sesuatu urusan berkaitan tugas rasmi.
“Selain itu, beliau turut berdepan pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, kata sumber, warga China yang juga pemilik syarikat akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban.
“Kesemua pertuduhan dibuat mengikut peruntukan Akta SPRM 2009,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Pada 26 Januari lalu, SPRM membekukan 16 akaun bank bernilai RM10.2 juta selain merampas wang tunai berjumlah RM87,000.
Selain itu, sebuah kereta dan barang kemas dianggarkan bernilai RM220,000 turut disita.
Sitaan dan pembekuan itu dilakukan selepas seorang pengarah syarikat disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM dan direman sehingga 30 Januari ini.
Dalam perkembangan berasingan, SPRM Negeri Sembilan juga telah menahan reman empat individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan pada 20 Januari lalu. – UTUSAN










