PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mengumumkan pelaksanaan Komitmen Gaji Sara Hidup sebagai sebahagian daripada usaha menyokong agenda nasional ke arah pemberian upah yang adil dan mencukupi, di samping memperkukuh kestabilan tenaga kerja serta kelestarian bakat kumpulan itu.
Menerusi komitmen berkenaan, semua pekerja tetap warganegara Malaysia dalam Kumpulan MNRB menerima gaji sara hidup minimum bulanan sebanyak RM3,100, sejajar dengan falsafah “We Protect Everyone” yang menekankan kesejahteraan pekerja dan amalan pekerjaan yang adil.
Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, keselamatan kewangan merupakan asas penting kepada kepuasan kerja dan kesejahteraan menyeluruh pekerja.
“Dengan mengguna pakai Komitmen Gaji Sara Hidup, kami memperkukuh tanggungjawab untuk melindungi kebajikan warga kerja, di samping menyokong kestabilan jangka panjang serta menghargai sumbangan bermakna mereka kepada organisasi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerangka imbuhan menyeluruh MNRB telah disusun melebihi keperluan gaji minimum berkanun, dengan memastikan pekerja tetap menerima sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan termasuk gaji asas, elaun dan faedah dalam bentuk barangan.
Menurutnya, pendekatan holistik terhadap imbuhan pekerja itu telah dilaksanakan sejak 30 Julai 2025 dan memberi manfaat kepada seluruh tenaga kerja dalam Kumpulan MNRB.
“Langkah berkenaan selari dengan usaha mengekalkan bakat serta memperkukuh pembangunan kemahiran, sekali gus membolehkan syarikat membina tenaga kerja yang stabil, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi dalam jangka panjang.
“MNRB melihat pelaksanaan Komitmen Gaji Sara Hidup ini sebagai amalan yang sentiasa berkembang di bawah rangka kerja modal insan dan kemampanan kumpulan,” katanya.
Tambahnya, syarikat akan terus menilai semula pendekatan imbuhan dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan pekerja, perubahan keadaan ekonomi dan jangkaan kemampanan, selaras dengan peranan MNRB sebagai majikan yang bertanggungjawab.
“Tenaga kerja yang mempunyai kestabilan kewangan adalah asas penting dalam membentuk organisasi yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. –UTUSAN










