KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang menaikkan bantuan di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IMP) Kluster Siswa daripada RM400 kepada RM500 secara ‘one-off’ bermula tahun depan bagi membantu meringankan beban mahasiswa anak negeri ini.
Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri mengkaji semula kadar bantuan berkenaan sebelum menambah nilai sumbangan tersebut kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Katanya, bantuan berkenaan sebelum ini diberikan sebanyak RM400 setiap tahun kepada anak Pahang yang melanjutkan pengajian, namun jumlah itu dinaikkan kepada RM500 sebagai usaha berterusan kerajaan negeri membantu golongan mahasiswa.
“Kerajaan negeri akan menambah nilai bantuan RM400 ini dan kita sedang meneliti perkara tersebut supaya mulai tahun depan bantuan kepada mahasiswa anak Pahang dinaikkan kepada RM500,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 mahasiswa anak Pahang (MAMPAN) di hadapan Rumah Pahang, Yayasan Pahang, di sini, semalam.
Untuk rekod, bagi tahun 2026, Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sejumlah RM9 juta bagi membantu kira-kira 20,000 pelajar di seluruh negeri ini. – UTUSAN










