SEREMBAN: Suami kepada pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dua mangsa atas urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan dengan kerugian RM293,931.
Tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam dan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Terdahulu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh dengan curangnya menipu seorang lelaki berusia 56 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk membuat pembayaran berjumlah RM270,811 secara dalam talian ke akaun bank penama wanita berusia 35 tahun bagi tujuan mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang tidak wujud.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Dato Bandar Tunggal di sini antara 2 April hingga 12 November tahun lalu.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menghidap sakit jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi dan gout.
“Saya ada sembilan orang anak yang perlu tanggung dan isteri suri rumah serta menjaga ibu,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM25,000 dengan seorang penjamin bukan isteri berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis setiap bulan dan tidak mengganggu saksi secara sendiri atau pihak ketiga.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, lelaki itu didakwa menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakan mangsa untuk membuat bayaran sebanyak RM 23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Dato’ yang sebenarnya tidak wujud di sebuah pejabat di Seremban 2 di sini, antara 22 Januari hingga 9 November tahun lalu.
Majistret Nurul Saqinah Rosli membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dan sebutan semula pada 15 April. – UTUSAN










