Mercun bernilai RM400,000 dirampas di Triang

Mercun bernilai RM400,000 dirampas di Triang

ZULKIFLEE Nazir (kanan) menunjukkan mercun yang dirampas di Tring, Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Polis membongkar kegiatan penyimpanan dan penjualan mercun tanpa lesen selepas menyerbu sebuah stor di Triang, di sini yang menyorok bahan itu dipercayai diimport dari China, bernilai antara RM300,000 hingga RM400,000, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat awam kira-kira pukul 6 petang yang membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun, selain penemuan 112 pelbagai jenis mercun disimpan dalam premis terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang lesen bagi pemilikan atau penjualan mercun. Semua mercun dipercayai diimport dari China berdasarkan pembungkusan yang tertera ‘Made in China’,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi memindahkan semua mercun yang dirampas melibatkan 12 anggota polis, mengambil masa hampir 12 jam dan memerlukan lima buah lori bagi memastikan bahan letupan berkenaan dipindahkan ke lokasi simpanan selamat.

“Siasatan awal mendapati mercun ini disimpan di dalam stor sebelum dikeluarkan untuk jualan, dipercayai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan berkemungkinan juga untuk perayaan lain termasuk Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Suspek direman tiga hari bermula 24 Januari lalu bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN