KOTA KINABALU: Mangsa banjir di Sabah terus meningkat kepada 520 orang petang ini, berbanding 498 mangsa pagi tadi.
Info terkini Pusat Kawalan Banjir Sabah merekodkan 328 mangsa berada di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Slagon, Beaufort manakala selebihnya di Dewan Masjid Al Munir, Darau.
Banjir di Kota Kinabalu membabitkan sebuah kampung iaitu Rampayan.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, peningkatan jumlah mangsa itu susulan fenomena hujan lebat berterusan.
Mangsa dari empat kampung di Beaufort membabitkan 114 ketua isi rumah manakala di Kota Kinabalu 46 ketua isi rumah.
Di Beaufort, mangsa terdiri 57 lelaki dewasa, 102 perempuan dewasa, 85 kanak-kanak lelaki dan 72 kanak-kanak perempuan termasuk bayi.
Di Kota Kinabalu, mangsa terdiri 50 lelaki dewasa, 71 perempuan dewasa, 25 kanak-kanak lelaki dan 36 kanak-kanak perempuan termasuk bayi.
Difahamkan, JPBN bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan lebih buruk dengan pelbagai kelengkapan untuk memindahkan penduduk yang terjejas ke tempat selamat.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi meramalkan, hujan dan ribut petir berterusan di beberapa kawasan di negeri ini termasuk Beaufort yang sedang dilanda banjir dalam tempoh seminggu akan datang. – UTUSAN










