Malaysia tidak akan dihormati jika terus berpecah akibat politik

Malaysia tidak akan dihormati jika terus berpecah akibat politik

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di MAEPS, Serdang, Selangor hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan dihormati dunia sekiranya negara terus dibelenggu perpecahan akibat sentimen politik, kaum atau negeri.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan negara mengendalikan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 membuktikan keupayaan negara daripada segi pengurusan ekonomi, keselamatan serta layanan mesra terhadap tetamu dan delegasi antarabangsa.

Katanya, tiada seorang pengunjung luar yang pulang tanpa terkesan dengan kehebatan Malaysia, merangkumi kecekapan pengurusan ekonomi, kawalan keselamatan serta sikap ramah rakyat negara ini.

“Isu yang lebih substantif ialah apa yang harus kita pelajari daripada pengalaman ini. Negara ini mesti aman dan stabil. Dunia tidak akan melayani dan menghormati kita jika kita terus bergesel dengan isu parti, kaum atau negeri.

“Politik dan negara mesti berada dalam keadaan aman dan stabil. Pimpinan perlu memikul tanggungjawab dengan serius, disokong tadbir urus yang baik serta dasar yang jelas,” ketika berucap pada Majlis Penghargaan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

Kata Anwar, Malaysia tidak hanya berkawan dengan dunia maju dan kaya sambil meminggirkan negara yang memerlukan bantuan.

“Kita bersedia berkawan dengan negara besar dan kaya seperti Amerika Syarikat dan China, tetapi kita juga memainkan peranan penting terhadap jiran kita, termasuk Timor-Leste. 

“Kita tidak hanya berkawan dengan yang maju, tetapi juga menghormati dan membantu jiran yang memerlukan. Usaha menjadikan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN adalah satu pendirian yang jelas dan bermakna,”katanya.

Perdana Menteri menegaskan, pendekatan inklusif itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh perpaduan dalam negara serta meningkatkan martabat Malaysia di pentas antarabangsa.

“Semangat perpaduan dan kerjasama antara semua kaum, jabatan dan lapisan masyarakat merupakan kunci utama kejayaan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN