Malaysia konsisten pertahan keadilan sejagat - PM

Malaysia konsisten pertahan keadilan sejagat – PM

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Bulan Januari 2026 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pendirian negara berhubung isu Venezuela mencerminkan komitmen teguh Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat yang konsisten mempertahankan prinsip keadilan sejagat, undang-undang antarabangsa dan kerukunan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun Malaysia adalah sebuah negara membangun, pendirian yang diambil tidak pernah tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar, sebaliknya berpaksikan prinsip negara hukum dan kedaulatan antarabangsa.

“Malaysia adalah negara yang bebas dan berdaulat. Kita tunduk kepada prinsip undang-undang, kerukunan antarabangsa dan mengambil pendirian yang tuntas serta konsisten, sama ada dalam isu Gaza, Venezuela atau sebelum ini menentang apartheid di Afrika Selatan,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Semalam, Anwar berkata, penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isteri dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) adalah pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, serta menuntut pemimpin negara itu dibebaskan segera.

Tindakan AS yang disifatkan luar biasa dari segi skop dan sifatnya, adalah satu penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat.

Anwar berkata, pendirian itu bukan bersifat bermusim atau selektif, sebaliknya berakar daripada tradisi dasar luar Malaysia sejak awal yang memperjuangkan keadilan, menentang penindasan dan menyokong kemerdekaan negara-negara yang pernah dijajah.

Beliau berkata, prinsip sama terus menjadi panduan Kerajaan MADANI dalam menilai isu-isu antarabangsa, termasuk perkembangan di Venezuela, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan dunia.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa keupayaan Malaysia menyuarakan pendirian berprinsip di pentas antarabangsa diperkukuh oleh keamanan dan perpaduan dalam negara.

“Semua ini berkat keamanan negara kita dan perpaduan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan dalam Kerajaan Madani. Jangan kita perkecilkan keperluan untuk bersatu, kukuh dan stabil,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×