Mahkamah Buruh Bergerak dilaksana Ogos

Mahkamah Buruh Bergerak dilaksana Ogos, mudahkan akses pekerja luar bandar

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Buruh Bergerak akan dilaksanakan sebagai satu pendekatan baharu  dalam meningkatkan akses perkhidmatan khususnya bagi pekerja dan majikan di kawasan pedalaman.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, inisiatif berkenaan bertujuan menyelesaikan kekangan kos, masa dan logistik yang sering dihadapi oleh pihak terlibat apabila terpaksa hadir ke mahkamah buruh sedia ada yang kebanyakannya terletak di bandar.

Menurut beliau, sebanyak RM5 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2026 bagi pelaksanaan inisiatif tersebut secara berfasa, dengan tiga unit kenderaan akan mula beroperasi di Semenanjung Malaysia selewat-lewatnya pada Ogos ini.

“Ini adalah satu inisiatif yang akan menyenangkan proses bagi semua orang, jadi dia (pekerja) tak perlu pergi ke mahkamah (buruh), mahkamah akan datang kepada mereka,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata, pelaksanaan awal inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman yang mempunyai akses terhad kepada institusi perundangan, sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

“Kita mulakan dengan skop kecil dahulu sebelum bergerak ke peringkat lebih besar. Di bandar, akses ke mahkamah sudah banyak, tetapi di pedalaman kos perjalanan, masa dan kesukaran untuk hadir menjadi beban kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu bukan semata-mata berdasarkan aduan, sebaliknya memenuhi keperluan rakyat terutamanya pekerja yang sukar untuk hadir ke mahkamah.

Jelasnya, langkah itu selari dengan usaha kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,700, di mana adalah tidak munasabah untuk membebankan pekerja luar bandar dengan kos perjalanan dan kehilangan pendapatan semata-mata untuk hadir ke mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN