PETALING JAYA: Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menyindir kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan perkembangan terbaharu membabitkan krisis dalaman Perikatan Nasional (PN).
Ini berikutan dakwaan Muhyiddin bahawa Bersatu dan Pas bersetuju memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan berkenaan.
“Letak jawatan pengerusi PN, tiba-tiba nak ketuai Majlis Presiden PN. Masalah tetap tak selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Semalam, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut memberi gambaran wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan parti itu terhadap perkembangan isu dalaman PN.
Krisis kepimpinan gabungan itu berlarutan selepas Muhyiddin mengumumkan perletakan jawatan sebagai Pengerusi PN pada hujung tahun lalu susulan krisis politik Perlis.
Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan Pas mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada langkah menyusun semula struktur kepimpinan gabungan itu.
Bagaimanapun, dakwaan berkenaan kemudiannya dinafikan oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sukri turut menegaskan bahawa era kepimpinan Muhyiddin sudah berakhir. – UTUSAN










