Pelantikan Ahmad Samsuri perkukuh perjuangan blok pembangkang - Idris

Pelantikan Ahmad Samsuri perkukuh perjuangan blok pembangkang – Idris

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Idris Ahmad berkata, pelantikan Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu merupakan satu anjakan strategik dalam memperkukuhkan perjuangan blok pembangkang.

Kata beliau, apa yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sebelum ini adalah lumrah atau ‘asam garam’ dalam sebuah wadah perjuangan yang hidup.

“Segala ujian ini tidak sedikit pun melemahkan semangat, malah mematangkan lagi kerjasama antara parti komponen demi kelangsungan agenda penyatuan ummah,” katanya dalam  kenyataan media, hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan, Pas akan menerajui PN selepas Naib Presidennya, Ahmad Samsu­ri dilantik sebagai pe­nge­rusi gabungan parti politik itu.

Keputusan itu menamatkan spekulasi individu paling layak mengetuai PN selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Pemilihan Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dipersetujui empat presiden parti yang membentuk PN ketika ini termasuk Presiden Gerakan, Da­tuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P. Punithan.

Idris berkata, pelantikan Menteri Besar Terengganu itu adalah manifestasi kesediaan PN untuk bergerak lebih agresif.

Katanya, fokus utama kepimpinan baharu ini adalah untuk memacu dan membangkitkan kesedaran rakyat di seluruh pelosok negara khususnya di Perak bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Kami yakin kewibawaan beliau mampu menyatukan sokongan rakyat yang mahukan pentadbiran yang berintegriti,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, Pas Perak berpendirian tegas bahawa kepentingan dan kebajikan rakyat mestilah didahului berbanding sebarang isu dalaman komponen yang masih dalam proses penyelesaian.

“Rakyat sedang memerhati dan menaruh harapan tinggi. Justeru, PN komited untuk menjadi alternatif terbaik yang fokus kepada penyelesaian masalah kos sara hidup dan kestabilan ekonomi, bukannya terjebak dalam politik remeh,” katanya.

Tambahnya, di bawah teraju Pengerusi yang berlatarbelakangkan teknokrat dan pemimpin berjiwa rakyat itu, PN akan terus konsisten memimpin gelombang perubahan.

“Pas Perak yakin PN akan terus melangkah gagah sebagai pejuang kedaulatan Islam dan tanah air, memastikan suara rakyat sentiasa menjadi keutamaan di dewan perundangan mahupun di lapangan.

​“Pas Perak menyeru seluruh ahli dan jentera di setiap peringkat untuk merapatkan saf, memberikan ketaatan kepada kepimpinan baharu, serta melipatgandakan kerja buat bagi memastikan kemenangan rakyat dalam PRU16 nanti,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN