KOTA BHARU: Pas mencalonkan seorang pemimpin tertinggi yang merupakan Ahli Parlimen sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya akan mengemukakan nama individu tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijangka berlangsung selepas 19 Februari ini.
Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut lebih nama pemimpin berkenaan, sebaliknya hanya menjelaskan individu yang akan dilantik ialah pemimpin tertinggi parti dan merupakan seorang Ahli Parlimen.
“Calon bagi jawatan itu sudah ada. Apabila Pas memimpin PN, kita akan tonjolkan.
“Namun buat masa ini perkara tersebut belum boleh diumumkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat khas secara tertutup kepada warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di sini semalam.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan bahawa MT PN merupakan badan tertinggi dalam gabungan berkenaan dan semua keputusan penting, termasuk pelantikan Pengerusi, mesti diputuskan melalui mesyuarat.
Katanya, tindakan tersebut selaras dengan ketetapan yang termaktub dalam Perlembagaan PN. – UTUSAN










