KUALA TERENGGANU: Seorang anggota polis berpangkat koperal dikenakan hukuman denda keseluruhan RM4,000 atas tiga pertuduhan alternatif menerima wang sebagai dorongan tidak menahan suspek kes dadah.
Azizol Affendi Rusli, 36, dijatuhkan itu selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan alternatif pertama, Azizol sebagai penjawat awam didakwa menerima wang RM800 melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank milik isterinya pada 12 Disember 2023 sebagai balasan tidak menahan seorang suspek kes narkotik.
Bagi pertuduhan alternatif kedua pula, tertuduh didakwa menerima wang RM200 pada 17 Mac 2024 melalui pemindahan dalam talian ke akaun bank miliknya, juga sebagai dorongan untuk tidak menahan suspek yang sama.
Sementara itu, bagi pertuduhan alternatif ketiga, Azizol didakwa menerima wang RM150 pada 9 April 2024, sekali lagi bagi tujuan membantu suspek daripada ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas Akta Dadah Berbahaya 1985.
Semua pertuduhan alternatif itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM4,000 terhadap tertuduh selepas mengambil kira pengakuan bersalah yang direkodkan.
Bagi pertuduhan alternatif pertama, tertuduh didenda RM2,000 dan jika gagal membayar, boleh dipenjara dua bulan. Sementara itu, bagi pertuduhan alternatif kedua dan ketiga, tertuduh didenda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dibantu Pegawai Pendakwa, Fatiha Abdul Shatar manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN










