BUKIT MERTAJAM: Kerajaan tidak mahu segelintir kes-kes terpencil melibatkan pasukan keselamatan mencemarkan imej keseluruhan pasukan berkenaan yang selama ini berkorban mempertahankan kedaulatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan negara bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya, ia hasil pengorbanan besar anggota polis dan tentera yang sering kali meninggalkan keluarga demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Saya tidak mahu satu atau dua kes tertentu itu mewakili seluruh angkatan bersenjata. Negara ini aman kerana pengorbanan rakan-rakan kita iaitu polis dan tentera di perbatasan, di lautan, berbulan-bulan berkorban, meninggalkan keluarga untuk pertahankan negara,” katanya berucap pada majlis perasmian bangunan baharu Hospital Seberang Jaya, hari ini.
Sebelum ini, 23 individu termasuk pegawai tinggi dan kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan perolehan dan penggunaan dana awam
Siasatan bermula sejak 7 Oktober dan disifatkan sensitif kerana melibatkan kepentingan awam serta dakwaan menerima rasuah dari syarikat berkaitan perolehan di TKAT dan MINDEF. SPRM turut membuka 22 kertas siasatan kesalahan asas serta satu kertas siasatan di bawah AMLA dan Seksyen 17A dan 23 Akta SPRM 2009 berkaitan penerimaan suapan dan salah guna kuasa oleh penjawat awam.
Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan semua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan supaya tidak menjejaskan integriti serta kewibawaan pasukan keselamatan negara.
“Setitik nila tidak harus merosakkan susu sebelanga. Walaupun kita fokus kepada satu dua kes, jangan kita lupa pengorbanan ratusan ribu anggota pasukan pertahanan dan polis yang menjaga keamanan negara,” katanya.
Tambah beliau, integriti dan profesionalisme pasukan keselamatan merupakan asas kepada kestabilan negara yang membolehkan Malaysia terus mengangkat martabat ekonomi ke peringkat lebih tinggi.
“Keamanan yang dinikmati negara hari ini hasil pengorbanan anggota pasukan keselamatan menjadi asas utama kepada pencapaian ekonomi yang membanggakan termasuk pengukuhan nilai ringgit, kemasukan pelaburan tertinggi dalam sejarah serta nilai perdagangan negara yang mencecah RM3 trilion,” ujar beliau. – UTUSAN










